KEMAMAN: Seorang pempengaruh media sosial ditahan polis hari ini kerana dipercayai mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan dalam laman sosial berhubung kes orang kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental yang dibelasah di sebuah pasar di Chukai, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Segamat, Johor kira-kira pukul 6.55 pagi ini bagi membantu siasatan.
“Khamis lalu, polis menerima laporan polis daripada seorang lelaki berusia 40 tahun mengenai satu hantaran dalam media sosial dipercayai milik pempengaruh itu yang mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan dan boleh mendatangkan kegusaran awam berkaitan kes OKU yang dipukul.
“Kita telah menahan pempengaruh yang berasal dari luar Terengganu itu dan dia direman sehingga esok bagi membantu siasatan,” katanya hari ini.
Wan Muhamad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi pada 17 Januari lalu, seorang lelaki OKU, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, dibelasah beberapa individu di pagi di Padang Astaka Chukai, di sini, selepas motosikal yang ditunggangnya merlanggar salah sebuah gerai jualan di pasar itu. – UTUSAN