KEMAMAN: Peguam yang mewakili lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental yang dipukul di sebuah pasar tani, di sini, Jumaat lalu mencadangkan polis supaya suspek-suspek dituduh di bawah seksyen yang lebih berat demi keadilan mangsa.
Peguam, Khairul Amin Abdullah berkata, siasatan polis kini mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dilihat tidak memadai untuk keadilan anak guamnya, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, atau lebih dikenali sebagai Paijang.
“Menerusi video yang tular dalam laman sosial, kita boleh lihat bagaimana Paijang dipukul, disepak dan diseret.
“Jika hanya Seksyen 147 yang dikenakan ke atas pelaku, ia tidak memadai untuk keadilan Paijang.
“Kita akan cadangkan supaya polis melihat seksyen yang lebih berpatutan seperti Seksyen 323, mendatangkan kecederaan, atau Seksyen 324, menyebabkan kecederaan dengan senjata atau Seksyen 325, menyebabkan kecederaan parah ataupun seksyen lain yang lebih berat dan setimpal dikenakan kepada pelaku,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan adik Ahmad Al Faizan, iaitu Ahmad Syahmi Jusoh, hari ini. – UTUSAN