Pujuk pensyarah Malaysia di universiti asing untuk pulang - Utusan Malaysia

Pujuk pensyarah Malaysia di universiti asing untuk pulang

ZAMBRY Abd. Kadir (tengah) melawat bangunan kampus cawangan Politeknik Ungku Omar (PUO) di Bercham Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Usaha sedang dibuat untuk menarik warga tempatan yang menjadi tenaga pengajar atau pensyarah di universiti luar negara untuk kembali memberikan khidmat di Malaysia.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, beliau sendiri mengadakan perjumpaan dengan anak-anak Malaysia terbabit untuk melihat peluang bagaimana mereka boleh menyumbang kepada negara ini.

Beliau memberi contoh terdapat warga Malaysia yang menjadi pengajar di institusi pendidikan teknikal di Jepun, iaitu negara negara yang dikenali dengan kehebatan teknologi.

“Di merata tempat, ramai sekali anak-anak Malaysia. Contohnya, kita anggap bahawa negara yang mempunyai kehebatan teknikal iaitu Jepun.

“Seringkali kita belajar daripada mereka, rupanya tanpa disedari ramai anak-anak Malaysia yang mengajar di universiti-universiti itu. Sebab itu kita tengah bincang bagaimana mereka boleh kembali menyumbang, mengajar di institusi-institusi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri majlis penyerahan bagi projek menyiapkan baki kerja ubah suai kampus cawangan Politeknik Ungku Omar (PUO) di Bercham di sini hari ini.

Zambry berkata, kementerian juga akan melihat konsep mobiliti akademik yang membolehkan rakyat Malaysia terbabit dapat menyumbang kepada negara secara langsung dan tidak langsung.

Beliau juga berkata, kementeriannya akan melihat strategi untuk meningkatkan daya saing institusi pendidikan politeknik termasuk dengan perubahan dari segi undang-undang.

Sementara itu, bangunan kampus cawangan PUO di Bercham tersebut dibina melibatkan kos RM27.1 juta dan siap sepenuhnya pada 28 Disember 2024 serta mampu menempatkan 1,200 pelajar, dengan kemasukan secara berfasa mulai Februari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya