Puaskan hati semua orang? Saya tidak akan mampu – Noki - Utusan Malaysia

Puaskan hati semua orang? Saya tidak akan mampu – Noki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Boleh dikatakan, populariti jejaka kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini meroket dengan laju apabila dia membuat keputusan untuk memberanikan diri menerjah bidang lakonan selepas memulakan langkah sebagai seorang penyanyi rap sekitar 2012. 

Barangkali Ikhwan Lee atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Noki, tahu, dia tidak boleh lena di zon selesa cuma dengan menyanyi semata. 

Mujurlah juga percaturannya dalam dunia lakonan tidak menyaksikan dirinya canggung. Maklumlah, ada antara penyanyi lain yang cuba-cuba meneroka bidang ini dilihat seakan tidak menjadi. 

Pendek kata, Noki, menerusi bakat yang ada, mampu meletakkan dirinya dalam kategori bukan pelakon kayu dan itu sudah cukup baik untuk Noki meneruskan perjalanannya dalam industri seni penuh persaingan ini. 

Memuji graf kerjaya seni lakonnya yang kini semakin mendapat perhatian ramai penerbit, pengarah dan penonton, anggota kumpulan K-Clique ini tidak malu mengakui kepada saya bahawa dia sendiri telah bertemu dengan pengurusnya kini, Nik Yasmin, untuk membimbing perjalanan seni lakonnya. 

“Kalau ditanya, saya sebenarnya, tidak pernah terfikir pun untuk terjun dalam bidang lakonan. Iyalah, saya mulakan kerjaya sebagai penyanyi rap dan ketika itu belum nampak lagi bakat ke arah dunia lakonan. 

“Tetapi, saya pilih jalan ini sebab sahabat saya, MK dulu yang berani ‘langgar’. Dalam kumpulan K-Clique, dia yang pertama ambil ‘job’ lakonan dan saya kemudiannya ikut jejak langkah dia. Alhamdulillah, Allah temukan saya dengan Kak Min (pengurus) dan terus-terang, memang saya sendiri yang ‘jual diri’ dengannya. 

“Saya cakap mahu cuba berlakon dan minta pendapatnya adakah saya sesuai? Mulanya dia pun macam tidak percaya yang saya mahu berlakon, tetapi Kak Min berjaya juga dapatkan saya ‘job’ pertama tak lama kemudian,”katanya. 

Bersyukur kerana langkahnya menjadi, kata pelakon berusia 31 tahun ini turut terharu apabila diberi peluang berlakon di bawah nakshah filem Soloz : Game of Life arahan sutradara terkenal, Syafiq Yusof. 

“Soloz: Game of Life bakal menyaksikan ia sebagai filem ketiga lakonan saya dan bekerja di bawah pengarahan Syafiq, ia bagaikan satu mimpi yang menjadi nyata. 

“Saya tahu hasil kerja Syafiq macam mana sebab sudah banyak filem arahannya yang menjadi bukti jadi, bohong kalau saya cakap tak rasa bertuah dapat bekerja dengannya. 

“Untuk projek f ilem ini, saya juga menaruh keyakinan ia mampu menjadi sebuah filem box office. Barisan pelakon dan jalan cerita juga bagus, Insya-Allah, ada rezeki, ia akan ‘meletup’!”katanya. 

Dalam pada itu, melihat kepada keterujaannya untuk mencuba kepelbagaian watak, pertanyaan mengenai sejauh mana dirinya sanggup melakukan aksi berani atas tiket seorang pelakon sengaja dilayangkan. 

Itu termasuk jika dia sanggup melakukan babak panas andai diminta mana mana pengarah. Mana tahu, sempena 2025, tentu ada sasaran tertentu yang ingin dibuktikan oleh Noki sebagai seorang pelakon bermutu pula bukan?

“Satu contoh yang saya boleh beri adalah menerusi watak Budi dalam drama bersiri Sebelum Titik Noktah siaran Unifi TV. Ini jika kita nak cerita sejauh mana saya berani. Dalam drama itu, Budi juga menyamar sebagai Sapali, kedua-duanya watak psiko.

“Ada satu babak di mana dia ini semasa di zaman kolej, terpaksa melakukan hubungan songsang dengan gurunya. Dia tidak rela pun, tetapi kerana mahu berjaya dalam hidup dia terpaksa buat. Saya sanggup buat adegan itu meskipun tahu mungkin akan kena kecam teruk. 

“Tetapi, saya berani buat kerana pengarah sudah beritahu mengenai teknik kamera. Memang, pada awalnya saya fikir 100 kali juga sama ada hendak buat atau tidak, iyalah, kita tak mahulah orang fikir benda itu nyata sebab kita pun tak tahu pemikiran orang lain.

“Namun, saya lega kerana semua yang dah tonton dapat fahami yang ia cuma sebuah cerita. Rasanya itu sudah menjawab tentang persoalan sejauh mana saya berani buat demi lakonan,”katanya. 

Menyambung kata, Noki memberi jaminan dia tidak akan menjayakan sesebuah naskhah sekiranya ia melanggar beberapa prinsip utama. 

“Saya akan berani buat sesuatu babak itu asalkan ia tidak benar-benar melampau. Namun, sebenarnya, penonton kena juga faham setiap apa yang dilakonkan aktor itu sekadar lakonan. Kalau di luar pun orang mahu samakan kita dengan watak itu, susah juga buat pelakon itu,”katanya. 

Jelas Noki, dia juga mengubah cara fikir lantaran enggan berada di takuk lama. Baginya, jika mahu berjaya dalam dunia seni, seseorang artis itu harus mengambil  jalan berani.

“Dulu, saya ini sejenis yang akan fikir apa orang akan cakap termasuk apa penerimaan orang. Namun, dalam tempoh setahun ini, saya cuba ubah cara fikir dan mahu buat apa yang saya suka dan selesa. 

“Pendek kata saya hendak ‘langgar’ saja asalkan perkara itu tidak melanggar dari sisi agama, tidak menyakitkan hati orang. Kalau mahu puaskan hati semua orang, saya tak akan mampu. Kita dalam adik-beradik pun tak boleh hendak puaskan hati mereka, apatah lagi orang lain. 

“Rasanya, lebih baik saya puaskan hati sendiri dahulu. Tak mahu fikir sangat pasal apa yang orang lain akan fikir,”katanya.

SISI JELIK DUNIA SENI

Mengajaknya berbicara mengenai pengalaman pahit sejak berkecimpung dalam industri seni 13 tahun lalu, Noki mengakui amat mustahil untuk dirinya merasai cuma perkara yang indah sahaja sepanjang bergelar seorang artis. 

Enggan memberitahu secara terperinci, Noki tidak menolak, sebagai anak seni, tentu sahaja ada pihak pihak tertentu yang mahu mengambil kesempatan terhadap artis sepertinya terutama apabila namanya telah memuncak.  

“Memang kita boleh nampaklah, bila kita sudah ada nama, tiba-tiba ramai yang mengaku kawanlah apalah. Itu sebab K-Clique keluarkan lagu Mimpi yang mana antara bait lagu ada sebut ‘sekali buka payung ramai datang nak tumpang berteduh’, itu contoh apa yang saya sendiri lalui. 

“Masa saya tak ada apa-apa, tak ada seorang pun mahu tolong. Kita minta mainkan lagu kita pun orang tak hendak pandang. Itu contoh, ada lagi banyak perkara lain yang terjadi yang saya kira boleh dijadikan pengajaran hidup termasuklah pengalaman di mana saya kena tipu. 

“Apa pun, memang ada benarnya dan saya akui bahawa dunia seni ini tak semuanya indah. Paling saya mahu tekankan, jangan tengok kita golongan artis atau selebriti ini semuanya senang dan hidup mewah. 

“Orang tidak tahu di belakangnya macam mana, susahnya macam mana. Kita ini kerja bukan macam orang kerja pejabat yang ada pendapatan tetap bulanan. Kita kena kerja lagi kuat daripada orang yang kerja di pejabat,”katanya. 

Bagaimanapun, kata Noki, ia tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perjuangan dalam bidang seni kerana ini adalah cintanya. Sama ada dalam dunia muzik atau lakonan, Noki juga mengakui kekok andai diminta memilih cuma salah satu untuk difokuskan. 

“Mula-mula tidak biasa juga dan rasa kekok terutama bila sudah membuka cabang dunia lakonan. Tetapi kalau ditanya mengenai kepuasan, nyanyian dan lakonan masing-masing ada kepuasannya tersendiri. Menyanyi rasa puas bila orang tahu lagu kita, bila buat persembahan kita dapat hiburkan semua orang. 

“Berlakon pula, kepuasan yang saya rasakan adalah apabila peminat dan penonton dapat turut sama menjiwai watak yang kita bawakan. Contohnya, bila di luar pun orang panggil kita dengan watak yang dibawa, itu maknanya lakonan kita berkesan. 

“Sebab itu, saya cakap, tak boleh pilih salah satu. Saya akan teruskan kedua-dua bidang ini selari. Paling penting, keluarga terutama ibu merestui kerjaya saya ini,”ujarnya. 

Sempat berseloroh sebelum menamatkan butir bicara, Noki mengakui bahawa sebelum sudah terbiasa dengan dunia lakonan, dia pernah mengalami kejutan budaya gara-gara perlu berada di lokasi penggambaran dalam tempoh yang panjang. 

“Mahu tergelak pula saya ceritakan ini. Tetapi betul, masa awal-awal dulu saya pernah terkena kejutan budaya. Iyalah, bila menyanyi, waktu kerja kita itu sekejap saja, peruntukan masa untuk menyanyi mungkin sekitar tiga jam begitu. 

“Habis show boleh balik. Tetapi kalau berlakon, tempoh masanya lama untuk kita berada di set. Kadangkala boleh sampai berbulan-bulan jika dapat naskhah drama panjang.

“Itu belum kira jika ada yang jatuh sakit atau terjadi sesuatu hal di set yang menyebabkan tempoh masa penggambaran terpaksa dianjak lagi. Tetapi disebabkan minat, kenalah juga bersa bar,”katanya sambil ketawa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya