PETALING JAYA: Pelakon, Bella Dowanna, mendedahkan amalan puasa ganti dan mengurangkan pengambilan gula sangat membantu untuk menurunkan berat badan.
Menafikan fizikalnya berubah secara drastik, Bella atau nama sebenarnya Qystinna Istajibilla Dowanna Halim, 20, mengambil masa setahun untuk menurunkan berat badan sehingga 20 kilogram.
“Perjalanan saya untuk kurus mengambil masa yang lama iaitu setahun. Saya amalkan makan sehari sahaja dan lakukan puasa ganti.
“Daripada kita buat OMAD diet (One Meal A Day), saya sarankan lebih baik buat puasa ganti. Dalam masa yang sama, kita dapat juga pahala.
“Selain itu saya kurangkan gula dan banyak buat senaman. Kadang sehari, saya sampai pergi dua kelas ‘hot yoga’,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bella mencuri tumpuan di media sosial selepas beberapa video menjadi tular memaparkan fizikal pelakon itu kelihatan lebih langsing.
Bagaimanapun, pelakon ‘M4M4’ itu juga mengingatkan setiap individu untuk menjalani rutin diet dengan gembira dan santai bagi mengelak stres.
“Apa yang mendorong saya untuk kurus ialah apabila saya tidak disuruh untuk kurus. Sebab bila orang ‘tekan’, lagi saya tidak mahu kurus.
“Bila buat sesuatu dengan rela hati, saya akan lagi rasa seronok menjalani proses itu.
“Contohnya, sesetengah orang ada target untuk turun beberapa kilogram tiga bulan. Saya tidak fikir begitu kerana akan jadi stres dan dera diri sendiri,” jelasnya.
Bella juga maklum, ada sesetengah komen mendakwanya menjalani pembedahan usus untuk kurus. Pelakon itu bagaimanapun enggan ambil pusing mengenai perkara itu.
“Saya tidak ambil jalan pintas untuk kurus seperti potong usus dan sebagainya. Kalau saya boleh tunjuk perut saya sebagai bukti, saya tunjuk.
“Saya ini sudah banyak kali masuk hospital sakit itu dan ini. Takkan saya mahu bedah usus pula? Tak apakah, terima kasih,” jelasnya.