PSS Lestari SK Rawai terbaik, murid selesa

PSS Lestari SK Simpang Rawai terbaik, murid selesa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKITAR tahun 1951, Pusat Sumber Sekolah (PSS) Sekolah Simpang Rawai (SKSR) yang terletak di daerah Marang, Terengganu cuma memulakan operasinya di sebuah bangunan kayu sebelum ke bangunan dua tingkat pada awal 1980-an.

Beberapa kali melalui episod perpindahan selaras dengan pembangunan semasa, pada Ogos 2011 sekali lagi PSS SKSR berpindah ke bangunan baharu yang menempatkan pelbagai kemudahan sebelum dinamakan PSS Lestari setahun selepas itu.

Pengubahsuaian bagi tujuan keceriaan dilakukan secara berterusan bagi menambah keselesaan sehingga diberi nafas baharu berkonsepkan gaya minimalis sekali gus mewujudkan suasana lebih ceria, praktikal dan menarik.

Usaha berterusan dilakukan membuahkan hasil apabila PSS Lestari SKSR berjaya melakar pelbagai pencapaian dan kejayaan termasuk pada November lalu, dinobatkan sebagai penerima Anugerah PSS Terbaik Negeri Terengganu Tahun 2024.

MUAFAKAT WARGA SEKOLAH, RAHSIA KEJAYAAN

Guru Perpustakaan dan Media SKSR, Norhani Hazlina Shuib berkata, konsep ‘satu keluarga’ menjadi teras muafakat, kebersamaan dan rahsia terbesar di sebalik kejayaan dicapai kerana semua individu bersama-sama memainkan peranan tanpa mengira sebarang jawatan.

Bukan sekadar memerah keringkat dan idea namun ada dalam kalangan guru dan persatuan ibu bapa sanggup mengeluarkan duit poket sendiri demi memastikan segala perancangan menjadi realiti.

“PSS Lestari mengorak langkah melakukan penambahbaikkan selaras dengan perubahan pendidikan abad ke-21 dan transformasi perubahan menjadikannya lebih minimalis memenuhi kehendak PSS moden.

“Hiasan dalaman berkonsepkan minimalis ini mula kita laksanakan sekitar 2019 secara berperingkat sehingga kepada suasana seperti hari ini yang melibatkan kos kira-kira RM20,000.
“Anugerah PSS Terbaik Negeri Terengganu diterima tahun ini adalah kejayaan kali kedua selepas turut menerimanya pada tahun 2021 lalu sekali gus melayakkan ke peringkat kebangsaan.

“Sebagai persediaan hadapi cabaran di peringkat kebangsaan, kita sediakan fizikal yang lebih baik dengan membuat beberapa inovasi kreatif dan kreativiti dengan pelbagai kemudahan,” katanya kepada Utusan Pelajar.

Menurut Norhani Hazlina, antara kemudahan yang ada di PSS Lestari SKSR ialah Bilik Pintar, Japanese Village, studio layar hijau, makmal komputer serta bilik untuk murid belajar secara kendiri bagi menggalakkan pembelajaran secara luar bilik darjah.

“Bilik Japanese Village antara paling mendapat tempat dalam kalangan murid. Inovasi ini kita ambil khas daripada buku teks tahun tiga iaitu Japanese House. Negara Jepun dijadikan rujukan kerana kita ingin murid ambil sikap positif orang-orang di sana seperti rajin, semangat serta menjaga kebersihan.

“Pembinaan bilik Japanese Village ini juga menggunakan bahan terpakai seperti meja-meja lama. Namun, hasil kreativiti dan idea secara bersama menjadikan ia sesuatu yang menarik sehingga berjaya mendapat Anugerah Perak pada tahun 2022 dalam Pertandingan Inovasi Peringkat Kebangsaan di bawah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), kategori pengajaran dan pembelajaran,” ujarnya.

AKTIVITI GALAKKAN MEMBACA

Ruangan PSS dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti ruangan bacaan berkumpulan, bacaan individu dan bacaan santai serta turut mewujudkan beberapa inovasi yang menyokong aktiviti galakan membaca dan literasi maklumat.

Norhani Hazlina berkata, pusat tersebut bukan sahaja menyediakan buku konvensional atau fizikal tetapi murid boleh gunakan komputer riba atau pun notebook supaya mereka dapat menerokai berkaitan dunia digital.

“Kita mempunyai lebih kurang 18,000 bahan bacaan pelbagai genre atau bersamaan nisbah 1: 15. Sebagai galakkan membaca, kita bukan sahaja menyediakan hadiah kepada murid tetapi sijil pembaca paling banyak setiap bulan serta anugerah apresiasi Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM).

 

“ Menerusi Sistem Bersepadu NILAM Termaju (AINS) diperkenal Kementerian Pendidikan, ia memudahkan murid merekodkan bahan bacaan bagi menggantikan sistem perekodan membaca murid secara manual iaitu NILAM yang telah digunakan sejak 1999.

“Selain itu, inisiatif galakan membaca turut dilakukan dengan menyediakan sudut membaca seperti di bawah tangga dan wakaf dalam kawasan sekolah,” ujarnya.

Terdapat 60 pengawas PPS melibatkan murid tahun tiga hingga enam di sekolah tersebut yang bertugas secara tiga sesi.
PSS perlu diurus secara sistematik serta efisien bagi tujuan memupuk tabiat membaca, literasi maklumat dan pembelajaran sepanjang hayat selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya