PETALING JAYA – Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) kini menawarkan penyelesaian perlindungan kesihatan mampu milik khusus untuk keluarga berpendapatan rendah melalui pelancaran pelan perlindungan baharu, Medik Asas.
Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail, berkata pelan ini diperkenalkan bagi menangani kebimbangan terhadap kos perubatan yang semakin meningkat, di samping memberi akses kepada perlindungan takaful yang lebih meluas.
Katanya, dengan premium serendah RM52 sebulan, Medik Asas direka untuk membantu individu tanpa jaminan kewangan menghadapi kecemasan perubatan.
“Pelan ini dilengkapi dengan pendekatan inovatif Harga Berasaskan Tuntutan, di mana sumbangan pelanggan berkurang jika tiada tuntutan dibuat, menjadikannya lebih fleksibel berbanding pelan perubatan tradisional.
“Inisiatif ini penting kerana 12.9 peratus rakyat Malaysia dilaporkan tidak mendapatkan rawatan perubatan akibat kekangan kewangan. Dengan menyediakan pilihan mampu milik dan fleksibel, kami berhasrat mengurangkan beban kewangan dan meningkatkan taraf kesihatan keluarga Malaysia,” katanya.
Tambahnya, Medik Asas menawarkan perlindungan perubatan asas yang meliputi rawatan pesakit dalam dan luar, penyakit kritikal, serta manfaat penjagaan lanjutan sehingga RM100,000 setahun dengan perlindungan tanpa had seumur hidup.
“Visi kami melalui Medik Asas bukan sekadar menawarkan produk, tetapi mewujudkan ekosistem penjagaan kesihatan inklusif yang mengatasi kekangan kewangan, demi memastikan lebih ramai rakyat mendapat rawatan yang diperlukan.
“Pelan ini dijangka menarik minat golongan B40 yang memerlukan perlindungan kesihatan pada kos berpatutan, sambil menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.