KULIM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menetapkan tempoh enam bulan bagi memproses permit masuk terutama kepada warga asing untuk tinggal di negara ini bersama pasangan mereka yang merupakan rakyat Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kelonggaran itu merupakan pembaharuan diperkenalkan pihaknya selepas perkara itu menjadi rungutan masyarakat selama ini ekoran proses memakan masa yang panjang.
Katanya, sebelum ini berlaku kes di mana permohonan permit masuk suami warga asing dan isteri warga tempatan atau sebaliknya yang terpaksa menunggu sehingga 10 hingga 17 tahun.
“Proses ini akan mengikut piagam pelanggan yang lebih realistik iaitu enam bulan setelah permohonan lengkap dikemukakan. Sebelum ini tiada ikatan dan keputusan itu kita akan proses seperti biasa termasuk semakan dokumen dan tapisan keselamatan.
“Katalah suami orang Karangan (Kulim), isteri dia orang Thailand. Sebelum ini dia masuk, dia dapat pasangan (berkahwin), kemudian baru dapat permit masuk sebelum mendapat status penduduk tetap dan seterusnya warganegara.
“Jadi sekarang ini berdasarkan kepada perubahan baharu, kita nak bantu untuk mempercepatkan proses itu. Maknanya sekarang dia tahu bila masuk permohonan dia tahu berapa lama akan dapat keputusan,” katanya pada sidang akhbar Program Sua Mesra KDN di Karangan, hari ini.
Permit masuk merupakan dokumen yang membenarkan seorang warganegara asing yang bukan bertaraf warganegara untuk masuk dan tinggal di Malaysia bagi semua tujuan sama ada bekerja, belajar atau memiliki keluarga di sini.
Permohonan permit masuk terbuka kepada individu yang bukan bertaraf warganegara Malaysia tetapi berada dan menetap di sini.
Saifuddin berkata, penambahbaikan itu diharap dapat membantu melegakan proses permohonan terutama bagi pasangan asing yang berbeza warganegara agar dapat tinggal tanpa birokrasi yang rumit, sekali gus dapat menumpukan kepada kualiti kehidupan mereka.
“Satu prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pembaharuan itu akan dikeluarkan bagi membantu setiap permohonan yang merangkumi senarai semak dokumen dan kesemua urusan berkaitan,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 23,674 pemohon direkodkan membuat permohonan permit masuk sejak 2020 hingga tahun lalu dengan 52 peratus daripadanya berjaya manakala baki jumlah permohonan ditolak atas pelbagai faktor. – UTUSAN