PETALING JAYA: Proses permohonan permit masuk khususnya bagi kategori pasangan kepada warganegara untuk mendapatkan taraf pemastautin tetap (MYPR) kini dalam fasa penambahbaikan dan akan dikuatkuasakan pada 31 September ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan memaklumkan, penambahbaikan itu selari dengan komitmen Kerajaan Madani untuk memastikan dasar-dasar yang adil dan efisien dilaksanakan demi kebajikan semua pihak.
Antara langkah utama yang digariskan ialah Penyelarasan Tempoh Perkahwinan Pasangan kepada warganegara yang memohon Permit Masuk perlu mencapai tempoh minimum tiga tahun perkahwinan dan memegang Pas Lawatan (Sosial) selama sekurang-kurangnya satu tahun.
Katanya, langkah itu bertujuan memastikan proses permohonan lebih teratur dan relevan dengan keperluan institusi kekeluargaan.
“Selain itu, Pemendekan Tempoh Pemprosesan Piagam Pelanggan telah diperkemas dengan menetapkan tempoh pemprosesan permohonan baharu kepada enam bulan sekali gus memberikan kepastian kepada pemohon dan mempercepat prosedur.
“Pada masa sama, Pengecualian Penilaian Sistem Mata KDN akan mengecualikan pelaksanaan Sistem Mata bagi kategori pasangan warganegara. Sebaliknya, faktor seperti tempoh perkahwinan dan bilangan anak akan diambil kira dalam mempertimbangkan kelulusan, bagi memelihara kebajikan keluarga yang sah dan tulen,” katanya.
Menurut KDN, penambahbaikan itu mencerminkan komitmen KDN dalam mendukung institusi kekeluargaan, seiring dengan aspirasi kerajaan Madani yang menitikberatkan belas ihsan dan pemberdayaan kemanusiaan.
“Dengan langkah-langkah ini, KDN yakin ia akan dapat meningkatkan kepercayaan terhadap sistem permohonan Permit Masuk dan memberikan manfaat kepada semua pihak berkepentingan,” katanya. – UTUSAN