SHAH ALAM: Isu melibatkan projek sakit perumahan dua blok apartment Rumah Selangorku di Kampung Tali Air, Morib, Kuala Langat akan diuruskan oleh syarikat penyelamat.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, pemaju dan kontraktor terdahulu mengakui tidak boleh meneruskan projek itu berikutan mengalami kerugian besar.
Jelas beliau, perkara itu dibincangkan pihaknya bersama pembeli, pemegang taruh projek itu seperti pemaju, wakil Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Pejabat Tanah dan Galian, Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS).
“Mereka (pemaju terdahulu) surrender kerana sudah rugi banyak. Kita sudah ada satu syarikat penyelamat yang berbincang secara terus dengan pemaju sebelum ini.
“Ini akan ambil masa lagi iaitu bawa ke mahkamah dan dapatkan keputusan (kebenaran memajukan projek itu),” katanya pada sidang akhbar pembukaan semula Muzium Sultan Alam
Shah di sini, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kerajaan negeri meneruskan perbincangan dengan KPKT bagi menyelesaikan isu projek itu yang terbengkalai sejak dua tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, perbincangan positif antara kedua-dua pihak berlaku namun perinciannya belum dimuktamadkan.
Dua projek Rumah Selangorku itu masih gagal disiapkan menyebabkan lebih 500 pembeli belum dapat menduduki rumah tersebut walaupun ansuran bulanannya sudah dibayar lebih dua tahun lalu.
Projek yang didakwa sepatutnya siap sekitar tahun 2020 dan 2022 itu malahan tiada tanda kerja pembinaan diteruskan selepas beberapa kali aduan dibuat kepada wakil rakyat termasuk kerajaan dan pembangkang.
Mengulas lanjut, kata Borhan, projek rumah bertanah di lokasi itu bagaimanapun akan diteruskan pemaju sebelum ini.
“(Kemajuan) bagi kategori rumah itu hanya tinggal 10 hingga 20 peratus antaranya melibatkan infrastruktur.
Pemaju cakap sudah ada dana dan kita nampak ada cahaya. Saya kata bagi surat bila nak mula dan mereka cakap akan berikan komitmen bagi tarikh itu,” ujarnya. – UTUSAN