PETALING JAYA: Negara terpaksa mengeluarkan perbelanjaan berbilion ringgit bagi ‘memperbetulkan’ kesilapan perancangan bandar terdahulu yang dilaksanakan tidak sistematik.
Usaha baik pulih itu perlu dilakukan bagi mengelak rakyat terus terkesan dengan banjir pada tahun-tahun mendatang.
Pakar perancangan bandar dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Madya Dr. Nooryasmin Zainun berkata, negara perlu berbelanja dua kali ganda untuk selenggara dan memperbaiki dari kos asal sesebuah projek.
Kata beliau, projek-projek terdahulu tidak menjalankan kajian penilaian impak alam sekitar (EIA) secara menyeluruh dan terperinci hingga menyebabkan berlakunya masalah pada kemudian hari.
Oleh itu, jelasnya, kerajaan perlu mengeluarkan kos yang sangat tinggi untuk merancang bandar semula terutama bagi mengelak kejadian seperti banjir kilat terus memberi kesan kepada rakyat.
“Nak tukar sistem ni mahal. Zaman dahulu iaitu sewaktu kita membuat pembangunan, tidak ada perancangan khas. Sebagai contoh, bila buat kampung, hanya buat longkang dan parit sahaja, tidak ada satu sistem yang sistematik.
“Dalam pembangunan kita kena banyak membuat sisatan di lapangan dahulu sebelum kita membuat sebarang pembinaan bagi mengelakkan ia memberi kesan pada alam sekitar, kawasan berdekatan dan penduduk setempat,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Terdahulu, media melaporkan, semua projek pembangunan yang melibatkan kepentingan rakyat yang mendesak seperti projek tebatan banjir dan program membasmi kemiskinan tegar harus disegerakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui projek sedemikian mengambil unjuran yang lama mengikut jadual perancangan, namun ia tetap perlu disegerakan bagi mengelak kesan pada rakyat seperti banjir.
Mengulas lanjut, Dr. Nooryasmin berkata, negara-negara maju atau yang sudah membangun mempunyai perancangan bandar yang sangat sistematik dan berupaya mengelak kesan-kesan buruk.
“Antara yang mereka lakukan adalah ada satu tempat memang khas untuk pusat beli belah, satu tempat lagi khas untuk penempatan rakyatnya dan mempunyai sistem perparitan yang cantik. Ini merupakan tanda perancangan bandar yang baik.
“Kita silap pada zaman dahulu, jadi banyak yang perlu dibetulkan. Contohnya, Sungai Klang yang semakin sempit tetapi kita sudah melakukan banyak pembangunan di sekitar sungai tersebut. Apabila kita sudah silap, kos mahu betulkan lebih banyak,” katanya. – UTUSAN