IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembentungan di Papan, Daerah Kinta, Perak Pakej 1 di sini hari ini.
Projek yang menelan kos sebanyak RM811 juta itu siap sepenuhnya awal dari tarikh asal.
Anwar turut menyaksikan majlis penyerahan Sijil Perakuan Siap Projek Pembentungan Papan Pakej 1 oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP), Ir. Wan Abd Rahim Wan Abdullah kepada Pengarah Urusan Mangkubumi Sdn. Bhd., Tan Sri Ir. Zainudin Karjan.
Menurut Wan Abd Rahim, penutupan 149 loji rawatan kumbahan usang dengan menyalurkan aliran kumbahan ke loji rawatan kumbahan serantau melalui sistem rangkaian paip pembentungan sepanjang 88 kilometer, mengurangkan ‘point source‘ pencemaran air dan bau selain penutupan sebanyak 73 tapak loji awam berpotensi untuk dibangunkan semula.
“Meskipun kontraktor berdepan dengan cabaran geologi terutamanya jenis bawah tanah di Ipoh yang bersifat tanah luar biasa (Subsurface Soil – Karstic Condition), tanah berkaviti dan batuan retak akibat hakisan batu kapur menyebabkan ketidakstabilan serta risiko mendapan sepanjang melaksanakan projek tersebut, namun dengan sokongan JPP serta PETRA, projek siap ini membawa kepada variasi faedah yang dinikmati oleh strata di Ipoh.
“Antara faedah adalah peningkatan kelestarian sistem perparitan yang lebih moden dan mengawal kebersihan sungai, menaikkan nilai hartanah serta mengurangkan aduan awam mengenai sistem pembetungan usang,” katanya.
Mangkubumi dengan kerjasama JPP serta sokongan PETRA, komited dalam menyumbang kepada pembangunan infrastruktur negara dan menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan rakyat serta memastikan kelestarian alam sekitar. – UTUSAN