IPOH: Projek loji rawatan air kumbahan Papan berstruktur yang merangkumi tiga pakej menelan belanja RM2.02 bilion dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pakej satu dan dua projek berimpak tinggi yang bakal memberikan manfaat kepada 250,000 penduduk Ipoh terutamanya melibatkan soal kesejahteraan, keselamatan dan keselesaan pada rakyat telah siap sepenuhnya.
Katanya, pakej ketiga projek itu pada tahap perkembangan terbaik iaitu 88 peratus dan keseluruhannya dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini.
“Pakej satu, dua sudah siap. Pakej ketiga ada sedikit cabaran iaitu ada kaviti (batu kapur kosong).
“Namun, kita akan mengatasinya dengan sebaiknya, ” katanya kepada pemberita pada Lawatan Kerja Perdana Menteri ke Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Dan Rangkaian Paip Pembentungan Pakej 1 Di Papan, Daerah Kinta, Perak di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kunjungan singkatnya kira-kira 30 minit melawat pakej satu projek itu selain mendengar taklimat ringkas berkenaannya .
Beliau secara dasarnya berpuas hati dengan perkembangan terkini projek tersebut.
Keseluruhan projek itu menelan belanja RM2.02 bilion yang meliputi kawasan Ipoh, sebahagian Gunung Rapat dan Menglembu.
Pembinaan sistem rangkaian paip pembetungan moden itu dapat mengurangkan masalah berkaitan sistem rawatan kumbahan, mengurangkan potensi pencemaran sungai yang mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan 2009).
Fadillah berkata, prosuder operasi standard (SOP) melibatkan keselamatan, kesihatan dan alam sekitar sentiasa menjadi keutamaan dengan pemantauan berterusan pihaknya.
“Kita kurangkan risiko berlakunya kemalangan, rosaknya alam sekitar dan mengurangkan ketidakselesaan penduduk sebaiknya,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak 149 buah loji awam yang telah usang ditutup untuk pembangunan lain di situ. – UTUSAN