Projek LINK rapatkan budaya Malaysia, Indonesia

Projek LINK rapatkan budaya Malaysia, Indonesia

Projek LINK ini melibatkan seramai 35 pelajar dan empat pensyarah dari Jabatan Perhubungan Awam, UiTM Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Projek Let’s Ignite Nusantara Kita (LINK) anjuran pelajar Perhubungan Awam Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, tampil sebagai satu inisiatif unik yang memupuk pertukaran budaya antara Malaysia dan Indonesia.

Program bersejarah ini bukan sahaja merapatkan hubungan dua hala kedua-dua negara serumpun malah berperanan meningkatkan kecemerlangan dalam bidang perhubungan awam melalui pelbagai aktiviti kolaborasi.

Projek ini menjadi platform penting dalam menjalinkan persefahaman lebih mendalam, selaras dengan usaha memartabatkan nilai budaya Nusantara di peringkat global.

Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin menyifatkan, program ini sebagai satu inisiatif yang amat baik khususnya dalam aspek pertukaran budaya antara Malaysia dan Indonesia.

“Malaysia dan Indonesia memiliki banyak persamaan seperti hubungan persaudaraan, pertalian sejarah, dan persahabatan. Melalui program ini, diharapkan hubungan antara kedua-dua negara dapat dirapatkan lagi.

“Hubungan antara rakyat, atau ‘people-to-people contact’, merupakan salah satu elemen penting dalam setiap hubungan dua hala. Program sebegini perlu diteruskan dengan memanfaatkan setiap peluang yang ada bagi mengelakkan sebarang salah faham,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Projek LINK ini melibatkan seramai 35 pelajar dan empat pensyarah dari Jabatan Perhubungan Awam, UiTM Shah Alam yang menjalani perjalanan transformatif ke Jakarta, Indonesia, dari 12 hingga 15 Januari lalu.

Program yang berlangsung selama empat hari ini turut menawarkan pengalaman yang bermakna kepada pelajar melalui pertukaran budaya dan akademik.

Ketua Pusat Komunikasi Strategik, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Dr. Wan Norbani Wan Noordin pula berkata, kolaborasi ini mempunyai nilai yang sangat besar dalam seni komunikasi.

“Komunikasi bukan sekadar tentang perkataan, tetapi melibatkan pemahaman, menjambatani perbezaan dan mencari titik persamaan. Syabas kepada pelajar dan penganjur Projek LINK atas kejayaan merealisasikan visi ini menjadi kenyataan yang luar biasa,” katanya.

Ketua Program Projek LINK, Nurul Batrisya Zailani turut menyatakan penghargaan terhadap usaha dan kerjasama yang ditunjukkan sepanjang program ini.

“Merealisasikan Projek LINK bukanlah tugas yang mudah tetapi anda semua telah menunjukkan kepimpinan pelajar dan semangat kerjasama yang luar biasa.

“Saya benar-benar berharap program ini menjadi pengalaman berharga yang bukan sahaja membantu kita berkembang tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara dua negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya