Program kesihatan mata murid diperluas seluruh negara - Fadhlina

Program kesihatan mata murid diperluas seluruh negara – Fadhlina

FADHLINA Sidek bersama Dzulkefly Ahmad ketika gimik perasmian pada majlis penyerahan kaca mata kepada murid sekolah rendah tahun 1 kategori B40 dan M40 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2). - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program pengesahan dan pembetulan ketajaman penglihatan mata kepada murid Tahun 1 daripada keluarga B40 serta M40, akan diperluas ke seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) itu penting bagi memastikan isu kesihatan penglihatan murid terus diberi keutamaan.

Beliau berkata, program ini juga penting sebagai jalan penyelesaian kepada masalah pembelajaran anak-anak di sekolah.

“Jadi insya-Allah program ini akan kita perluaskan dan ini komitmen kita bersama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kaca Mata Bagi Program Pemeriksaan Refraksi dan Penajaan Pembetulan Ketajaman Penglihatan Murid Sekolah di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2), Presint 9, di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya menetapkan sasaran pengesanan ketajaman penglihatan melebihi lima peratus daripada jumlah murid yang diperiksa berbanding ketika ini pada kadar sekitar 3.5 peratus.

“Kami akan sentiasa memantau masalah ketajaman penglihatan murid sekolah melalui pemeriksaan oleh Pasukan Kesihatan Sekolah di bawah KKM yang mana murid-murid ini akan dirujuk untuk mendapatkan pembetulan ketajaman penglihatan melalui pemakaian cermin mata,” katanya.

Katanya, pihaknya juga menyedari bahawa masih ada sebilangan murid yang tidak memakai cermin mata akibat masalah kekangan kewangan.

Justeru, katanya, KKM akan bekerjasama bersama badan terlibat bagi melaksanakan projek rintis pengesahan masalah ketajaman penglihatan dan pemberian kaca mata percuma.

Katanya, ketika ini, KKM berganding bahu dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Optimax Eye Specialist Centre Sdn Bhd bagi melaksanakan projek rintis itu sejak Ogos tahun lalu di 16 buah sekolah rendah di bawah KPM di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“Ia merangkumi murid Tahun 1 B40 dan M40 dengan jumlah bilangan murid yang disaring seramai 2,642 orang dan bilangan murid yang layak adalah 100 orang (3.8 peratus),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya