SINONIM dengan kehidupan berpindah-randah serta asimilasi dengan ‘survival’ hutan sebelum ini, kini anak Orang Asli etnik Bateq telah mengenali alam persekolahan dengan mempelajari kemahiran asas Membaca, Menulis dan Mengira (3M) di Sekolah Kebangsaan Pagar Sasak, Lipis.
Program Cup Badui Sikulah (CBS) dalam bahasa etnik Bateq bermaksud ‘Jom Pergi Sekolah’ semata-mata untuk mengajak murid berkenaan mengenali alam persekolahan dengan berpeluang mengasah kemahiran Membaca, Menulis dan Mengira (3M) dan mengikuti aktiviti koakademik, kokurikulum dan pembinaan sahsiah.
Seramai 14 orang murid Orang Asli etnik Bateq Kampung Sungai Garam dan Kampung Sungai Mun berusia antara tujuh hingga 15 tahun mula menjejakkan kaki ke sekolah tersebut menyertai program CBS sekali gus menikmati suasana pembelajaran yang kondusif, berteduh dalam premis sekolah tersergam indah, berinteraksi dengan guru serta rakan mereka dalam kalangan orang Melayu.
Murid tersebut sebelum ini tidak mengenali langsung alam persekolahan berikutan kerap mengikut keluarga berpindah-randah.
Justeru, menerusi program CBS tersebut, murid tersebut turut melibatkan diri dengan projek Green Fingers, iaitu memupuk budaya bertani dan keusahawanan apabila berpeluang menanam terung kaedah fertigasi dan sayuran sawi di samping Program Ketuk Dapur berasaskan kemahiran menyediakan masakan mudah.
Jadual aktiviti CBS yang tersusun dan menyeronokkan menerusi pembelajaran yang kondusif, murid Orang Asli juga diajar kemahiran menjahit dan aktiviti Silang Budaya dengan melibatkan aktiviti Tarian Sewang dan berkompang.
Cara pendekatan dan kaedah yang didominasi oleh SK Pagar Sasak, iaitu sebuah sekolah rendah di luar bandar daerah Lipis sudah pun menampakkan kejayaan sebenar pendidikan murid Orang Asli yang pada awalnya tidak mengenali langsung asas 3M malahan jauh sekali interaksi sosial dengan masyarakat luar.
Kejayaan SK Pagar Sasak menerusi program CBS menerusi komitmen, usaha serta sokongan termasuk idea serta perancangan oleh pegawai dari Jabatan Pendidikan Pahang, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lipis, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu Sahabat Jariah Malaysia di bawah penasihatnya, Profesor Dr. Maketab Mohamed.
Hakikatnya, kejayaan itu dicapai dengan usaha yang penuh dedikasi dan tanpa jemu oleh seramai 18 orang guru SK Pasar Sasak yang diterajui oleh Guru Besarnya, Nor Zaini Abd Wahib dengan menyumbangkan tanggungungjawab sebagai pendidik disulami dengan idea dan perancangan yang tepat, usaha bersungguh serta kudrat untuk menjamin kemenjadian murid Orang Asli tersebut sebagai insan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual (JERI).
Ketika ditemui , Pegawai Pendidikan Daerah Lipis, Amin Nollah Lateh berkata, dalam tempoh setahun program Cup Badui Sikulah dilancarkan sudahpun nampak hasilnya apabila sebahagian murid Orang Asli etnik Bateq sudah boleh menguasai kemahiran 3M sama seperti kebolehan kalangan murid Melayu di situ.
“PPD Lipis termasuk Jabatan Pendidikan Negeri berkolaborasi dengan Dr. Maketab Mohamed. dari Sahabat Jarah Malaysia, Jakoa dan Tok Batin Kampung Sungai Garam terus memberikan sokongan serta galakan termasuk idea dan bantuan peralatan sebagai galakan bagi murid Orang Asli hadir ke sekolah (Jom Pergi Sekolah).
“Kita kerap turun memantau program ini untuk memastikan semua murid Orang Asli mampu menguasai kemahiran asas 3M di samping terbabit dengan semua aktiviti yang dirancang serta dilaksanakan oleh Guru Besar serta guru berkenaan,” katanya di Pejabat Pendidikan Daerah Lipis baru-baru ini.
Menurut Amin Nollah, hasil usaha bersungguh guru besar dan guru, program CBS di SK Pagar Sasak sudah pun berjaya walaupun baru ‘setahun jagung’ dilancarkan apabila kalangan murid
Orang Asli menunjukkan minat hadir ke sekolah dan mula aktif semua aktiviti pembelajaran di dalam serta luar kelas.
Sementara itu, Guru Besar SK Pagar Sasak, Nor Zaini Abd Wahib memberitahu, pada peringkat awal ketika mula bersekolah, murid CBS masih terbawa perasaan malu dan takut, tidak banyak bercakap dan kurang keyakinan diri.
“Hal ini dapat dilihat apabila murid berkenaan hanya berada dalam ‘kelompok’ mereka sahaja dan tidak mahu bergaul dengan murid lain khususnya dalam kalangan (murid) Melayu di sini.
“Pelbagai program pendidikan telah dilaksanakan untuk murid CBS yang bertujuan memupuk minat mereka hadir ke sekolah serta beberapa aktiviti pembinaan sahsiah khususya bagi meredakan perasaan malu dan rendah diri untuk bergaul dengan kalangan murid Melayu di sini,” katanya di SK Pagar Sasak, Lipis baru-baru ini.
Nor Zaini berkata, murid CBS ditempatkan dalam satu kelas sahaja dan tiga orang guru ditugaskan untuk mengajar mata pelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Moral, Pendidikan Seni, Pendidikan Muzik dan Pendidikan Jasmani.
Katanya, antara pengisian aktiviti Program CBS yang telah dilaksanakan, iaitu berupa pendekatan untuk kemahiran belajar dan pembinaan sahsiah, iaitu Yek Pandai berbacak, Yek Pandai Berkirak, Yek Pandai Bertulis berorientasikan kemahiran asas 3M, manakala disusuli Kebun Yek (Green fingers), Yek Cantik, Yek Dah Bersih, Yek pandai ICT, Kelas Yek Ceria, Sambutan Hari Jadi dan Wedoget.
“Guru telah menyediakan pelbagai alat bantu mengajar bagi memudahkan murid CBS menguasai berasaskan konsep belajar sambil bermain. Mereka juga diberi penghargaan kehadiran terbaik dan cemerlang dalam pelajaran termasuk sumbangan pakaian seragam, alat tulis, makanan daripada JAKOA, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) Kementerian Pendidikan dan ubat-ubatan termasuk buku dan alat tulis daripada Sahabat Jariah Malaysia,” katanya.
Nor Zaini berkata, kehadiran murid CBS ke sekolah setiap hari juga agak baik, merekodkan kehadiran setiap bulan antara 85 hingga 87 peratus.
“Hasil usaha guru serta minat murid dalam pembelajaran keseluruhan pencapaian kemahiran asas 3M menunjukkan seramai tujuh orang murid telah menguasai 3M, dua orang telah lancar membaca petikan mudah dan tujuh lagi belum mampu menguasai 3M, tetapi yakin dapat menguasai secara beransur-ansur” katanya.
Kata beliau, setelah setahun belajar, murid CBS telah menunjukkan keyakinan diri, banyak cakap dan rajin bertanya dan hilang perasaan malu apabila berani membuat persembahan di khalayak termasuk bersosial dengan murid Melayu. Dalam perkembangan yang sama, Guru Kelas CBS, Jannefer A/P Apok berkata, murid Orang Asli sekolah tersebut terlibat bersama dengan murid lain dalam aktiviti sekolah seperti perkhemahan unit beruniform, sukan tahunan, kejohanan olahraga dan merentas desa peringkat zon.
“Sehingga ini, mereka semakin berminat untuk hadir ke sekolah, berkeyakinan diri dan boleh menyertai pertandingan dan persembahan peringkat sekolah di samping bergaul serta melakukan aktiviti bersama murid Melayu.
“Hubungan sosial dengan rakan kalangan murid Melayu sangat baik dan boleh dilihat dalam semua aktiviti koakademik dan kokurikulum sekali gus murid Melayu juga bertindak sebagai rakan pembimbing membantu menguasai 3M,” katanya.
Jannefer sangat gembira apabila melihat murid CBS menunjukkan minat berkebun dengan melibatkan usaha menanam menanam terung kaedah fertigasi dan sayur sawi menerusi projek Green Fingers atau Kebun Yek secara kolaborasi dengan Jabatan Pertanian untuk mengisi tabung kelas CBS apabila hasil pertanian itu sudah dijual.
Tokoh Murid Kelas CBS, Siti Norelisya a/p Jerung, 12, berkata, dia amat seronok belajar sehingga ini setelah setahun di kelas CBS sudah boleh membaca, mengira dan menulis, hasil tunjuk ajar guru di situ.
“Saya akan terus belajar bersungguh untuk menguasai semua mata pelajaran di samping terbabit aktif dalam kegiatan koakademik dan kokurikulum serta lebih yakin untuk mengikuti pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya. Dia dan rakan berterima kasih dan terhutang budi dengan guru besar kerap memberikan galakan serta guru yang mengajar bersungguh sehingga terus menanam minat mereka ke sekolah untuk berjaya dalam pelajaran. – UTUSAN