GEORGE TOWN: Pihak Tourism Malaysia Wilayah Utara memberi tumpuan terhadap promosi produk pelancongan yang bertemakan lawatan ke lokasi-lokasi warisan atau ‘heritage tour’ sempena kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Pengarahnya, Abdul Hadi Che Man berkata, kaedah promosi itu akan dikhaskan untuk Pulau Pinang memandangkan negeri ini sarat dengan tempat peninggalan sejarah termasuk bangunan warisan khususnya di sekitar bandar George Town.
“Untuk Kedah dan Perlis pula, kami akan cuba ketengahkan produk ekopelancongan lain terutamanya melibatkan tempat-tempat yang mampu menarik kehadiran lebih ramai pelancong sama ada dalam atau luar negara.
“Untuk tujuan itu juga (promosi), kami akan masuk ke MATTA Fair (Pameran oleh Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia) di peringkat utara yang akan diadakan di Pulau Pinang selepas ini,” katanya.
Beliau ditemui ketika turut sama meraikan ketibaan pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini, petang semalam.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, kumpulan pelancong yang diraikan itu tiba menerusi 12 penerbangan antarabangsa termasuk dari Taipei, Taiwan; Kuala Namu, Indonesia; Bangkok, Thailand dan Singapura.
“Selain Pulau Pinang, Tourism Malaysia turut melaksanakan acara ini di beberapa lokasi lain termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di Sarawak,” katanya. – UTUSAN