PETALING JAYA: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang wajar mengambil pendekatan tabayyun atau semak kesahihan di dalam memastikan setiap maklumat diterima dan disebarkan benar dan tidak memudaratkan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, pendekatan tersebut penting sebagai sebahagian tuntutan Islam untuk menjaga kebenaran, keadilan dan keharmonian dalam masyarakat.
“Selain bertabayyun, Islam juga mengajar umatnya tidak bersangka buruk, mengadu domba dan menyebar fitnah,” katanya kenyataan Facebooknya hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pandangan Abdul Hadi yang mengaitkan pendekatan Madani dibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan jahiliah berikutan ketidakhadiran Perdana Menteri pada Sidang Kemuncak ke-11 Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) di Kaherah, Mesir bulan lalu.
Beliau dalam masa yang sama berkata pandangan mengaitkan Madani dengan jahiliah itu adalah salah.
“Gagasan Malaysia Madani berasaskan konsep Madinah Rasulullah yang berjaya menyatupadukan warganya daripada pelbagai suku kaum melalui Piagam Madinah,” katanya.
Mengulas ketidakhadiran Anwar pada sidang kemuncak itu, Zulkifli berkata, Anwar dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak ke sidang kemuncak berkenaan kerana mengutamakan tugasan rasmi.
“Pada tarikh sidang kemuncak itu (18-19 Disember lalu), Anwar dan kerajaan menerima kunjungan hormat kali pertama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow ke negara kita. Saya sendiri menyertai sesi mesyuarat dua hala dan sambutan rasmi tersebut di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya,” katanya.
Beliau menjelaskan, Anwar sudah mewakilkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk mewakili Malaysia pada Sidang Kemuncak ke-11 D-8 kali ini. – UTUSAN