PETALING JAYA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto tiba ke Malaysia untuk lawatan kerja sehari.
Wisma Putra, menerusi satu kenyataan berkata, lawatan ini merupakan kunjungan pertama beliau ke Malaysia sejak pertama kali dilantik sebagai Presiden Indonesia pada Oktober 2024.
Beliau dijadualkan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Pesawat khas yang membawa Prabowo serta delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada pukul 10.15 pagi.
Wisma Putra berkata, lawatan itu mencerminkan hubungan erat dan istimewa antara Malaysia dan Indonesia, yang disokong oleh kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, sosio-budaya, pertahanan, dan keselamatan.
Pertemuan itu juga bakal membincangkan kerjasama dua hala serta meneroka peluang baharu untuk memperkukuh hubungan kedua-dua negara.
Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia dan Indonesia dijangka bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh Pembinaan Komuniti ASEAN, kerjasama serantau, dan pendekatan bersama dalam menangani cabaran global.
Dalam aspek ekonomi, hubungan perdagangan antara kedua-dua negara kekal signifikan.
Pada tahun 2023, Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.21 bilion (USD24.39 bilion).
Dari Januari hingga Oktober 2024, jumlah dagangan dua hala telah meningkat kepada RM95.50 bilion (USD20.75 bilion), berbanding RM94.37 bilion (USD20.69 bilion) dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. – UTUSAN