KUALA LUMPUR: Tindakan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang menaikkan caj perkhidmatan bermula 1 Januari lalu disifatkan tidak wajar dan membebankan rakyat khususnya penduduk di Lembah Pantai.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, pihak pengurusan PPUM tidak berbincang dengan beliau untuk menaikkan caj perkhidmatan itu antara 60 peratus hingga 70 peratus.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, pihak pengurusan tertinggi PPUM ada bertemu dengannya pada 2019 dan 2021 bagi menyatakan hasrat mereka untuk menaikkan kadar caj perkhidmatan, namun beliau tidak bersetuju dengan cadangan itu.
“Kali ini mereka tidak bertemu dengan saya, tetapi mengumumkan dahulu (kenaikan).
“Saya dah panggil mereka Sabtu lalu dan nyatakan sebagai Ahli Parlimen saya tak setuju mereka naikkan kos,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Future Health for All di sini, hari ini.
PPUM sebelum ini mengumumkan kenaikan sehingga 70 peratus dalam caj pesakit, manakala caj wad hospital itu akan dinaikkan sebanyak 60 peratus, daripada RM120 kepada RM300.
Bayaran untuk rawatan susulan di klinik pakar dinaikkan daripada RM15 kepada RM50, iaitu peningkatan sebanyak 70 peratus.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, beliau akan melancarkan kutipan dana sebanyak RM5 juta menerusi ‘tabung PPUM Care’ bagi membantu pesakit yang terkesan akibat kenaikan tersebut.
“Warga Lembah Pantai dan Petaling Jaya ramai dapatkan perkhidmatan di PPUM, jadi kita akan bantu,” ujarnya. – UTUSAN