PETALING JAYA: Lawatan kerja ke United Kingdom (UK) berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM11 bilion dalam pelbagai sektor termasuk tenaga boleh baharu dan ekonomi digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan kerja selama lima hari itu turut membawa potensi eksport yang dijana dalam tempoh lima tahun akan datang berjumlah RM500 juta.
Kata beliau, potensi tersebut akan meliputi produk peralatan dan komponen pesawat, perabot serta makanan dan minuman.
Malah, jelasnya, ia turut menunjukkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap ekonomi Malaysia selain hubungan kerjasama yang lebih erat dengan kerajaan UK.
“Dalam pertemuan dengan ketua-ketua syarikat yang diselaraskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), nampaknya ada peningkatan mendadak dari segi kesediaan (untuk melabur),” katanya semasa sidang media bersama media Malaysia di UK.
Dalam lawatan tersebut, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat besar di UK seperti Standard Chartered dan Jaguar Land Rover.
Mengulas lanjut, beliau berkata, wujudnya tanda-tanda keyakinan daripada pihak kerajaan UK dan Perdana Menterinya, Sir Keir Starmer untuk mengukuhkan lagi kerjasama serta hubungan dengan Malaysia.
Katanya, beliau dimaklumkan bahawa Starmer dan Menteri Pembangunan UK, Anneliese Dodds akan ke Malaysia pada bulan depan serta disusuli dengan kehadiran Menteri Indo-Pasifik, Catherine West pada Mac ini.
“Bila mendapat isyarat seumpama itu nampaknya sudah ada komitmen untuk melabur RM11 bilion dalam pelbagai sektor seperti automatif, digital, tenaga boleh baharu, perbankan, hartanah dan petrokimia,” jelasnya.
Tambahnya, perdagangan antara kedua-dua negara juga dijangka meningkat berikutan penyertaan dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
“Melalui CPTPP, penyertaan dalam kontrak, profesional dan barangan lebih mudah dibawa dari Malaysia.
“Syarikat-syarikat besar Malaysia seperti YTL, Tenaga Nasional Bhd, Gamuda, EcoWorld yang melabur dan mempunyai projek besar di sini, akan mendapat faedah (daripadanya),” katanya. – UTUSAN