KOTA BHARU: Teras perjuangan Pas sudah jauh berbeza berbanding era pentadbiran bekas Mursyidul Amnya, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, Pas kini dilihat kian ‘galak’ atau semakin bernafsu untuk menjalinkan hubungan baik dengan UMNO demi mendapatkan kuasa pemerintahan.
Katanya, usaha Pas berbaik dengan UMNO bermula sejak Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).
“Trend perjuangan Pas kini lebih bersandarkan perjuangan kebangsaan Melayu dan Islam. Ia sebenarnya bermula di saat Pas keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) untuk akhirnya bersama UMNO.
“Ini jauh berbeza daripada perjuangan Pas di era pentadbiran Tok Guru (Nik Abdul Aziz) dan ia juga antara sebab kami keluar parti dan menubuhkan Amanah,” katanya selepas Majlis Makan Malam Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Bersama Pengamal Media Kelantan, di sini malam tadi.
Sementara itu, beliau pelik melihat Pas menjadi penyokong Najib yang lebih tegar berbanding UMNO sendiri.
Katanya, Pas tetap berkeras untuk meneruskan Himpunan Solidariti Bersama Najib di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini,
“Sedangkan pada masa sama UMNO mengeluarkan kenyataan untuk akur kepada titah Yang di-Pertuan Agong dan arahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tidak meneruskan himpunan tersebut. Ia merupakan satu keanehan kerana pada hakikatnya, Najib mula dibicarakan pada era pemerintahan Perikatan Nasional (PN) dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
“Najib dijatuhkan hukuman semasa PN masih menjadi kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan ketika itu semua diam,” katanya.
Beliau berkata, lebih aneh apabila Pas merupakan antara pengkritik yang paling kuat bersuara dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada era pentadbiran Najib sebagai Perdana Menteri.
Khalid berkata, Pas sepatutnya turut akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong serta arahan PDRM dan tidak campur tangan dalam proses keadilan yang dilaksanakan oleh institusi terlibat. – UTUSAN