PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunggu enam lagi saksi untuk tampil memberi keterangan berhubung tindakan beberapa individu sebuah pertubuhan berpakaian menyerupai pakaian istiadat pasukan keselamatan negara di sebuah majlis.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, setakat ini pihaknya telah mengambil keterangan seramai tiga individu bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif individu terbabit berpakaian begitu.
“Kita masih menunggu enam lagi saksi untuk tampil memberi keterangan. Jika mereka enggan tampil, barulah kita akan ambil tindakan tegas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
PDRM membuka satu kertas siasatan berhubung tindakan beberapa individu sebuah pertubuhan berpakaian rasmi menyerupai pakaian istiadat pasukan keselamatan negara di sebuah majlis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilapor berkata, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor terkesan dengan video tular tersebut dalam aplikasi TikTok pukul 2.30 petang pada Jumaat lalu.
Beliau dilapor berkata, beberapa individu menghadiri satu majlis dengan memakai pakaian rasmi yang hampir menyerupai pakaian istiadat pasukan beruniform.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 140 Kanun Keseksaan atau Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 atau Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM).
“Jika sabit kesalahan Seksyen 140 Kanun Keseksaan, boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Tambah beliau, bagi sabit kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 boleh dipenjara tidak lebih tiga bulan atau denda tidak lebih RM3,000.