JOHOR BAHRU: Polis di negeri ini menerima tiga laporan dibuat terhadap pelawak, Harith Iskandar yang didakwa mempermainkan sentimen agama sebagai jenaka dalam media sosial.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, tiga laporan tersebut diterima di Johor Bahru Utara, Iskandar Puteri dan Kluang.
Katanya, polis Johor memandang serius serta memberi amaran sekeras-kerasnya terhadap mana-mana pihak yang memainkan sentimen raja, agama dan kaum (3R) dalam media sosial sehingga boleh membangkitkan perpecahan serta menggugat keharmonian masyarakat.
“Polis Kontinjen Johor mengesahkan menerima laporan berhubung hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam oleh pemilik atau pengendali akaun Facebook Cecelia Yap Song KL dan Harith Iskandar.
“Tindakan tegas tanpa kompromi bawah undang-undang sedia ada akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Harith Iskandar dikecam warganet setelah membuat hantaran dalam Facebook yang seakan-akan memperlekeh isu agama dengan memuat naik gambar dan kapsyen tertera perkataan ‘ham’.
Menurut Kumar, kes disiasat bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu kenyataan dengan niat mahu melukakan perasaan agama seseorang dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan mendatangkan khianat awam dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.
“Ia turut disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan pelanggan,” ujarnya.
Pelawak, Shahrol Shiro turut membuat laporan polis terhadap Harith Iskander yang didakwa mempermainkan sentimen agama sebagai jenaka dalam media sosial.
Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, 40, dilaporkan membuat laporan di Balai Polis Kluang Johor susulan status terkini pelawak senior terbabit yang membuka ruang kepada netizen meninggalkan komen mempersenda agama. – UTUSAN