Polis terima laporan sekumpulan lelaki masukkan kucing ke dalam guni

Polis terima laporan sekumpulan lelaki masukkan kucing ke dalam guni

TANGKAP layar rakaman yang dirakam penduduk pangsapuri terbabit mengenai sekumpulan lelaki bertindak memasukkan beberapa ekor kucing ke dalam guni.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Polis mengesahkan menerima laporan satu kejadian tular membabitkan sekumpulan lelaki yang didakwa menangkap beberapa ekor kucing dan memasukkan haiwan itu ke dalam guni di sebuah pangsapuri di Batu 9, Cheras, di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada 11 Januari sekitar pukul 10.58 malam.

“Rakaman kejadian itu tular di media sosial, menunjukkan sekumpulan lelaki menangkap beberapa ekor kucing sebelum memasukkannya ke dalam guni dan membawanya menaiki kenderaan.

“Perbuatan tersebut menimbulkan kebimbangan masyarakat kerana disyaki haiwan tersebut akan dibuang di lokasi yang tidak diketahui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Naazron, pihak polis juga menerima satu lagi laporan daripada wakil kumpulan lelaki berkenaan yang merupakan ahli jawatankuasa persatuan penduduk pangsapuri itu.

“Laporan tersebut menafikan dakwaan berlaku penganiayaan atau penderaan terhadap haiwan berkenaan.

“Pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut dimaklumkan mengenai perkara itu dan sedang menjalankan siasatan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.

Jelasnya, polis akan memastikan tindakan sewajarnya diambil sekiranya terdapat unsur pelanggaran undang-undang.

“Mana-mana individu yang didapati melanggar peruntukan undang-undang termasuk Akta Kebajikan Haiwan 2015 boleh dikenakan tindakan tegas.

“Masyarakat perlu lebih peka terhadap kebajikan haiwan serta mematuhi undang-undang sedia ada,” tambahnya.

Terdahulu, rakaman memaparkan sekumpulan lelaki bertindak memasukkan beberapa ekor kucing ke dalam guni pada pukul 10 pagi semalam telah tular di media sosial sejak malam tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya