KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu memantau 21 kawasan blackspot yang berisiko tinggi untuk berlakunya kemalangan sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina, kali ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, daerah Besut mempunyai kawasan paling tinggi iaitu lima lokasi diikuti Marang (empat lokasi) dan Hulu Terengganu (tiga lokasi).
“Seterusnya ialah Kemaman iaitu dua lokasi, Dungun (dua lokasi), Kuala Terengganu (dua lokasi), Setiu (dua lokasi) dan Kuala Nerus (satu lokasi). Selain itu, kita memantau 34 lokasi jalan raya yang sering berlaku kesesakan berikutan peningkatan bilangan kenderaan sepanjang musim perayaan berlangsung,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Kempen Keselamatan Jalan Raya Tahun Baru Cina 2025 Peringkat Negeri Terengganu yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim di Dataran Shah Bandar, di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zamri Samion.
Katanya, bagi melancarkan proses pemantauan tersebut, lebih 400 anggota ditugaskan untuk melakukan rondaan dan ditempatkan secara statik di lokasi blackspot sempena Op Selamat Ke-23 yang bermula Selasa ini.
“Pasukan tersebut akan bertugas selama 24 jam secara syif bagi memantau, melancarkan perjalanan trafik dan membantu orang ramai yang memerlukan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, sebanyak 188 kes kemalangan direkodkan sepanjang Op Selamat 20 berbanding 205 kes pada Op Selamat 19.
“Namun, jumlah saman yang dikeluarkan sepanjang Op Selamat 21 meningkat lebih 98 peratus, iaitu 13,405 keping berbanding 4,531 keping pada Op Selamat 19,” katanya. – UTUSAN