PETALING JAYA: Polis mengesahkan menerima laporan yang dibuat isteri kepada pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi berhubung dakwaan kes penipuan berjumlah RM95,180.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan dibuat berkaitan kes penipuan tawaran bantuan urusan menukar seksyen hukuman di mahkamah.
Katanya, suspek adalah seorang wanita berusia 28 tahun, hasil siasatan mendapati pada Disember lalu mangsa berjumpa dengan suspek bagi membincangkan mengenai masalah yang dihadapi suaminya dan menawarkan bantuan untuk menurunkan seksyen kesalahan.
“Suspek beberapa kali berjumpa dengan mangsa dan meyakinkan mangsa bahawa suspek boleh membantu mangsa untuk menyelesaikan masalah berkenan.
“Mangsa yang bersetuju kemudian membuat bayaran berjumlah RM95,180 ke dalam dua akaun bank yang diberikan suspek, namun selepas bayaran dibuat mangsa mendapati suspek tidak menunaikan bantuan berkenaan dan tampil membuat laporan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Susulan itu, menurutnya, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor.
“Polis ingin memberi peringatan dan menasihati kepada masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran yang ditawarkan dan merujuk kepada pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum membuat tindakan lanjut,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Afreena tampil membuat laporan polis kelmarin selepas mendakwa ditipu seorang individu membabitkan wang sebanyak RM95,180.
Menerusi hantaran di Instagram, Afreena turut menyatakan dirinya yakin bahawa kebenaran akan terungkap selepas laporan berkenaan dibuat.
Along atau Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, mendakwa isterinya itu menyeleweng sumbangan awam hampir RM100,000 yang diterima daripada rakan-rakan artis.- UTUSAN