ALOR SETAR: Polis mengesahkan penemuan mayat wanita di tebing Sungai Kedah di kawasan Alor Mengkudu, di sini pada pukul 2.35 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya sedang menyiasat sama ada penemuan mayat ini ada hubung kait dengan kejadian seorang wanita yang masih lagi dilaporkan hilang sejak dua bulan lalu.
“Mayat itu ditemukan dalam keadaan mereput dan masih lagi lengkap berpakaian. Pemeriksaan turut menemui sebuah telefon bimbit di dalam poket seluar yang dipakai.
“Mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian. Susulan itu juga polis telah memanggil waris kepada wanita yang dilaporkan hilang sebelum ini untuk tujuan pengecaman dan menjalani proses perbandingan DNA,” katanya di sini, hari ini.
Pada 8 November lalu, seorang wanita, Siti Rohani Saad, 37, dilaporkan hilang selepas motosikal miliknya ditemui di tebing Sungai Titi Haji Idris ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Jalan Pegawai, pada hari kejadian.
Kata Siti Nor Salawati, jarak penemuan mayat adalah kira-kira 10 kilometer dari lokasi motosikal wanita itu ditemukan sebelum ini.
Ujarnya, kes masih lagi diklasifikasi sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat. – UTUSAN