PETALING JAYA: Polis sudah merakam keterangan penerbit filem yang juga pempengaruh media sosial selepas kereta Perodua Axia miliknya musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Tasik Raja Lumu U5/17 Seksyen U5, Bukit Jelutong, Sungai Buloh di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, punca kebakaran kenderaan itu masih belum dapat dipastikan lagi.
Menurutnya, ketika kejadian, kereta itu ditinggalkan di tempat sunyi selama lebih dari sejam.
“Siasatan mendapati kereta itu dibeli lelaki warga Nigeria itu yang juga seorang tiktoker tanpa menukar nama pemilik asalnya.
“Pemilik asal kenderaan terbabit buat masa ini belum tampil memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media semalam melaporkan kereta seorang penerbit filem musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Tasik Raja Lumu U5/17 Seksyen U5, di sini.
Bagaimanapun kebakaran Perodua Axia milik lelaki itu tidak membabitkan mangsa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2.55 petang sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong digerakkan ke lokasi.- UTUSAN