GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan senjata api apabila merampas 801 butir peluru, lima pucuk pistol serta satu laras senapang jenis M4 di kawasan perairan berhampiran Sungai Perai dekat sini, semalam.
Selain rampasan pelbagai jenis senjata itu, empat suspek lelaki yang dipercayai nelayan masing-masing terdiri daripada dua warga tempatan serta dua warga Indonesia berusia antara 22 hingga 57 tahun turut ditahan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, terdahulu, pasukan unit risik marin iaitu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu telah menahan dua bot fiber gentian kaca pada kedudukan kira-kira satu batu nautika dari barat daya Sungai Perai, kira-kira pukul 3.10 petang.
Katanya, dua buah bot fiber gentian kaca tanpa nombor pendaftaran yang mencurigakan itu dikesan bergerak dari arah pelabuhan menuju ke jambatan pertama Pulau Pinang.
“Pihak polis kemudian telah menghampiri dua buah bot berkenaan dan mengarahkan mereka untuk berhenti bagi diperiksa. Hasil pemeriksaan, dua lelaki warga Indonesia dan dua lelaki tempatan telah ditahan untuk siasatan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, sebuah daripada bot tersebut iaitu yang dinaiki dua lelaki Indonesia diisi dengan pelbagai jenis senjata api termasuk peluru,” katanya dalam sidang akhbar di markas PPM Wilayah Satu, di Batu Uban di sini, hari ini.
Menurut Hamzah, antara senjata yang dirampas termasuk lima pucuk pistol jenama Glock, Sig Sauer dan Smith & Wesson bersama kelopak peluru serta selaras senapang jenis M4 Carbine, 801 butir peluru, termasuk 600 butir untuk M4 dan 200 butir peluru jenis 9mm.
“Selain itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM4,030, dua buah bot fiber tanpa pendaftaran, serta pelbagai peralatan komunikasi seperti telefon satelit dan GPS,” katanya yang percaya, senjata api itu diperoleh dari Thailand dan dibawa masuk ke negara ini menerusi jalan laut.
Hamzah berkata, suspek warga asing itu masuk melalui laluan sah menggunakan pasport, namun, menyalahgunakannya untuk aktiviti jenayah dan difahamkan katanya, ini kali pertama mereka menjalankan kegiatan penyeludupan senjata api tersebut.
“Kedua-dua bot fiber yang digunakan itu pula adalah bot sewa yang tidak berdaftar. Pihak polis tidak menolak kemungkinan lebih ramai ahli sindiket terlibat dan siasatan lanjut sedang dijalankan ketika ini,” katanya.
Tambah Hamzah, kes disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.
“Ini adalah kes terpencil dan tiada kaitan dengan perayaan Tahun Baharu Cina, Thaipusam atau Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025,” katanya yang memberitahu, keempat-empat suspek telah direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. – UTUSAN