KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur mempertingkatkan kawalan lalu lintas dan rondaan keselamatan menerusi Op Selamat 23 sempena Tahun Baharu Cina bermula pada hari ini sehingga 2 Februari.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, seramai 363 anggota akan dikerahkan setiap hari bagi memastikan kelancaran trafik di ibu negara dengan 127 anggota tambahan ditempatkan untuk operasi malam semalam.
“Op Selamat tahun ini memberi fokus utama kepada kawalan lalu lintas di sekitar pusat bandar bagi memastikan pengguna jalan raya dapat pulang ke kampung halaman dengan selamat dan selesa.
“Kami (polis) juga melaksanakan Op Lancar setiap hari bermula 24 Januari hingga 2 Februari di lokasi-lokasi hotspot dan blackspot bagi mengurangkan kesesakan serta memastikan kadar kemalangan dapat diminimumkan,” katanya
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina di Bukit Bintang, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Senior Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman.
Jelasnya, sebanyak 50 lokasi hotspot dan dan 11 lokasi blackspot dikenal pasti di sekitar Kuala Lumpur, manakala di Putrajaya pula sebanyak 8 lokasi hotspot dan 5 lokasi blackspot,”
“Antara lokasi hotspot yang dikenal pasti termasuk Jalan Tun Razak, Susur Bulatan Pahang, Jalan Ampang, Jalan Kampung Kerinchi dan Jalan Dato Keramat.
“Sementara itu, kawasan blackspot yang memerlukan kawalan lebih ketat ialah Jalan Kuching, Jalan Loke Yew, Lebuhraya Duke, Lebuhraya MRR2, Lebuhraya Seremban, Lebuh Sentosa serta Persiaran Selatan,” katanya.
Menurutnya, dianggarkan lebih 50 peratus warga kota akan meninggalkan ibu negara sepanjang perayaan ini, sekali gus menjadikan Op Lancar sebagai langkah penting untuk memastikan pergerakan trafik yang lebih lancar.
Tambah Azry, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah, memastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan dan cakna terhadap keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.
“Selain itu, pastikan rumah berkunci dan selamat sebelum pulang ke kampung. Orang ramai juga digalakkan memaklumkan kepada balai polis berhampiran atau pihak pengurusan perumahan supaya pemantauan dapat dilakukan,” katanya.
Jelasnya, sebarang pertanyaan atau maklumat boleh disalurkan melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN