BUTTERWORTH: Sebanyak 4,120 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM847,616 termasuk cukai dirampas dalam serbuan Op Taring Landai yang dijalankan di sekitar kawasan ini sejak Jumaat lalu.
Dalam operasi ke atas sebuah premis tidak bernombor itu, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu turut berjaya menahan dua lelaki warga asing.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, serbuan itu diketuai oleh pegawai kanan polis dan melibatkan enam pegawai rendah polis dari Unit Risikan Marin (URM).
“Kedua-dua suspek kini direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, berdasarkan rekod tahun lalu, PPM Wilayah Satu telah mencatatkan sebanyak 2,168 kes tangkapan dengan nilai rampasan sebanyak RM42,460,732.88 melibatkan pelbagai kesalahan. – UTUSAN