KUALA LUMPUR: Seramai 9,700 anggota dan pegawai Polis Kuala Lumpur akan ditugaskan bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman sepanjang Kepengerusian ASEAN 2025.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, sebanyak 186 mesyuarat dijangka diadakan di sekitar ibu negara pada April, Mei dan Oktober nanti.
“Daripada jumlah itu, 21 mesyuarat akan diadakan di Putrajaya,” katanya pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran Kepengerusian ASEAN yang membabitkan delegasi dari luar negara.
Katanya, ia merupakan tanggungjawab pihaknya dalam memastikan Kuala Lumpur dilihat dalam keadaan baik dan selamat supaya tidak menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai terutamanya pengunjung dan delegasi dari luar negara.
“Selain itu, kita akan memastikan mesyuarat yang diadakan di Kuala Lumpur berjalan dengan baik dan kelancaran trafik serta keselamatan kepada delegasi,” katanya.
Malaysia secara rasmi mengambil peranan sebagai Pengerusi ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur. – UTUSAN