Polis kejar pengedar dadah 63 km, dua anggota cedera dilanggar

Polis kejar pengedar dadah 63 km, dua anggota cedera dilanggar

M. KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ibarat adegan dalam filem apabila dua individu disyaki pengedar dadah cuba meloloskan diri dengan menaiki kereta Perodua Axia dan melarikan diri sejauh 63 kilometer.

Bagaimanapun, tindakan mereka itu tidak berjaya apabila ditahan di Simpang Renggam, Kluang tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, kejadian bermula kira-kira pukul 12 tengah malam apabila sepasukan polis melakukan Op Tapis di Jalan Tampoi, Taman Seri Bahagia, di sini terserempak dengan kereta dinaiki seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun dan wanita warga Singapura berusia 38 tahun dalam keadaan mencurigakan.

“Pasukan polis mengekori rapat kereta yang dipandu wanita Singapura itu sehingga ke Jalan Persiaran Alif Harmoni dan memberhentikan kenderaan suspek untuk melakukan pemeriksaan. Secara tiba-tiba suspek memecut kereta lalu melanggar dua anggota polis sehingga menyebabkan mereka cedera pada bahagian tangan.

“Polis telah memberi arahan untuk berhenti, namun suspek memecut memasuki Lebuhraya Pasir Gudang dan pasukan serbuan mengejar kereta suspek yang memasuki Lebuhraya Pesisir Pantai Iskandar dan Lebuhraya LinKedua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek nekad merempuh palang di Plaza Tol Senai dan memasuki Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Kuala Lumpur.

Polis meminta bantuan MPV Kulai dan MPV Kluang dan kenderaan suspek akhirnya berjaya ditahan di kawasan Simpang Renggam.

Hasil pemeriksaan, polis menemukan pelbagai jenis dadah termasuk ganja, syabu, serbuk ekstasi, heroin serta pil nitrazipam bernilai RM54,831.70.

“Ujian urin mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamin serta suspek lelaki memiliki rekod jenayah berkaitan dadah serta diburu polis. Kedua-dua suspek kini direman enam hari hingga 5 Januari ini bagi membantu lapan siasatan berkaitan Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya