JOHOR BAHRU: Satu sindiket yang aktif menjalankan dua kegiatan jenayah iaitu pengedaran dadah serta pemalsuan dokumen tumpas selepas dua ahlinya ditahan polis pada 13 dan 14 Januari lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, kedua-dua suspek lelaki tempatan yang berusia 30 serta 30 tahun itu ditahan dalam empat serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini.
Katanya, dadah dirampas bernilai RM3.68 juta, manakala dokumen palsu dirampas melibatkan kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, geran kenderaan serta wang tunai.
“Sindiket ini dipercayai telah bergiat aktif sejak Disember lalu dengan menjadikan dua kediaman sebagai stor dan pusat pembungkusan dadah serta tempat pemalsuan dokumen.
“Antara dirampas termasuklah 21,811 gram serbuk ekstasi; 1.40 gram syabu dan 40.28 liter cecair dadah bernilai RM3.68 juta. Manakala turut dirampas 13 keping kad pengenalan dan lesen memandu palsu; 10 keeping kad bank palsu; satu geran palsu serta 18 keping wang tunai palsu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tambah Kumar, pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine, dengan kedua-dua mereka turut mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Kedua-dua kediaman yang diserbu merupakan kediaman sewa dengan satu kenderaan turut disewa manakala sebuah lagi kenderaan merupakan kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Kajang pada tahun 2023.
“Kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga Sabtu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 489B dan Seksyen 468 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Sementara itu, Kumar turut memberitahu sejak 1 Januari hingga 21 Januari tahun ini, pihaknya telah menahan seramai 1,568 suspek atas pelbagai kesalahan dadah dengan rampasan dadah berjumlah RM21.82 juta. – UTUSAN