JOHOR BAHRU: Polis Johor mengenal pasti 49 lokasi titik panas (hotspot) iaitu lokasi yang kerap berlakunya kesesakan menjelang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, esok.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, lokasi tumpuan adalah dua laluan utama sempadan negara iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah.
Katanya, pihaknya turut mengesan sebanyak 31 lokasi titik hitam (blackspot) iaitu lokasi kerap berlakunya kemalangan yang dijadikan fokus utama untuk kali ini.
“Justeru, Polis Johor akan mengatur gerak seramai 1,767 orang melibatkan 208 pegawai dan 1,559 anggota meliputi semua elemen termasuk kekuatan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor yang berjumlah 57 pegawai dan 579 anggota.
“Polis juga akan turut meneruskan kolaborasi dengan lain-lain agensi melalui Emergency Response Team (ERT) seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS Berhad, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya PDRM bersama Perkeso Johor sempena Op Selamat 23 di Plaza Tol Kempas, di sini semalam.
OP Selamat 23 akan bermula hari ini hingga 2 Februari bersempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
Kumar berkata, Op Selamat pada tahun lalu menyaksikan sebanyak 1,187 kemalangan direkodkan, menurun sebanyak 29.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Namun, katanya, jumlah saman yang dikeluarkan meningkatkan lebih 100 peratus iaitu sebanyak 23,386 saman berbanding 11,690 pada tahun sebelumnya.
“Operasi kali ini memfokuskan pencegahan jenayah pecah rumah, meminimumkan kadar kemalangan jalan raya berkonsepkan penguatkuasaan menyeluruh dan advokasi serta memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang musim perayaan.
“Penguatkuasaan diberikan tumpuan terhadap enam kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan alat komunikasi semasa memandu.
“Masyarakat diminta melaporkan pergerakan cuti kepada pihak polis sebelum pulang ke kampung melalui Borang Maklumat Balik Kampung yang boleh diperolehi di balai-balai berhampiran atau menerusi aplikasi Volunteer SmartPhone Patrol (VSP),” ujarnya. – UTUSAN