SEREMBAN: Tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam jenayah mencuri kabel diberkas polis di kawasan Jalan Nilai Perdana 1, Nilai di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, dalam kejadian lebih kurang pukul 3 pagi tadi, semasa anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai sedang melakukan rondaan telah menerima maklumat terdapat kejadian disyaki curi kabel.
“Apabila anggota polis tiba di lokasi kejadian mendapati sebuah kereta dan dua lelaki sedang bersembunyi di dalam kereta itu manakala seorang lelaki bersembunyi di dalam kawasan semak.
“Hasil siasatan awal mendapati, tiga suspek yang ditahan itu dalam lingkungan umur 30-an hingga 40-an dengan mempunyai pelbagai rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah dan narkotik.
“Turut dirampas adalah segulung kabel berwarna hitam, dua alat pemotong kabel, sebatang besi, sebilah sabit, sebuah kereta dan satu rangkai kunci, “katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini. – UTUSAN