Polis ambil keterangan guru didakwa pukul kanak-kanak prasekolah - Utusan Malaysia

Polis ambil keterangan guru didakwa pukul kanak-kanak prasekolah

tahanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis telah mengambil keterangan guru wanita yang didakwa memukul seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun hingga cedera dalam kejadian di sebuah prasekolah di Jelapang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, guru berusia lewat 30-an itu dipanggil sebanyak tiga kali untuk hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

“Sebanyak tiga laporan polis dibuat oleh seorang wanita yang mendakwa anak lelakinya dicederakan oleh seorang guru. Ekoran laporan tersebut, guru terbabit dipanggil untuk dirakam percakapan.

“Selain guru berkenaan, kita turut memanggil guru kelas lain untuk membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Abang Zainal, siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Katanya, kertas siasatan kes tersebut telah dirujuk kepada pihak pendakwaan negeri untuk tindakan dan arahan selanjutnya.

“Pihak polis menerima laporan dibuat ibu mangsa pada 14 Disember lalu dan wanita itu mendakwa terdapat kesan biru pada tapak tangan mangsa dipercayai akibat dipukul.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan mengalami kecederaan tisu lembut pada kedua-dua tapak tangan tanpa lebam,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan dakwaan seorang wanita berhubung tindakan guru di sebuah prasekolah di Jelapang yang memukul anak lelakinya hingga menyebabkan mangsa cedera dan trauma.

Mangsa dikatakan dipukul guru wanita itu kepala, dicubit, disuruh berlari sekeliling padang seorang diri, diletak pin pada poket seluar, ditampar di bahagian muka selain tidak dibenarkan makan dan minum.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku sejak September lalu dengan insiden terakhir pada 13 Disember apabila kanak-kanak itu dirotan di kedua-dua tapak tangan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya