Undang-undang lapuk perlu dihapus

PM: Undang-undang lapuk perlu dihapus

ANWAR Ibrahim bercakap pada sesi taklimat media pada Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland, semalam. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Undang-undang lapuk perlu dihapuskan kerana ia tidak boleh menangani banyak cabaran baharu yang muncul ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia harus membuat perubahan itu sejajar dengan perkembangan pantas teknologi dan cabaran global dunia masa kini.

Katanya, kemajuan pesat teknologi hari ini menuntut kerajaan memupuk peluang-peluang besar dalam kerjasama antarabangsa bagi menghadapi cabaran-cabaran baharu.

“Kita ambil semua undang-undang terkini yang sejajar dengan perkembangan global dan menyesuaikannya dengan sewajar­nya. Mujur kerajaan mempunyai sokongan majoriti dua pertiga di parlimen. Itu sa­ngat membantu.

“Rakyat akan melihat pelbagai perkara yang perlu kita lakukan untuk memberi makna kepada kerjasama yang berkesan dan dasar yang jelas serta pelaksanaan pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media pada Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025, Davos, Switzerland.

Sebelum ini, Anwar pernah menyuarakan agar semakan semula undang-undang dibuat bagi mengelakkan implikasi buruk kepada negara. Ia selepas membabitkan kes ta­nah Semantan Estate di Jalan Duta.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengakui bahawa terdapat lebih 3,000 undang-undang lapuk yang didapati sudah tidak lagi relevan dengan keadaan semasa.

Katanya, sebahagian besar undang-undang lapuk itu digubal sebelum era kemerdekaan pada 1940-an yang ada langsung tidak lagi boleh dipakai.

Justeru ujarnya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan menyenaraikan kesemua akta lama tersebut untuk dinilai Kabinet kerana ia merentasi pelbagai agensi, kerajaan Pusat, negeri dan tempatan.

“Ada masih relevan tetapi pada saya, tanggungjawab reformasi undang-undang memang kena tengok situasi semasa dan ini perlu kepada kajian yang amat terperinci,” jelasnya.

Langkah berkenaan tegas­nya, bukan sahaja dipikul Jabatan Peguam Negara, malahan badan kehakiman dan fakulti undang-undang di universiti tempatan juga wajar dilibatkan.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, mengesahkan ada memanggil ketua setia­usaha setiap kementerian bagi menilai balik akta yang tidak sesuai.

Mengenai bagaimana untuk mencapai potensi penuh ASEAN yang menyaksikan Malaysia sebagai pengerusi perkumpulan serantau berkenaan tahun ini, Anwar berkata, semua pemimpin anggota mesti terus merangka dasar yang betul terutamanya mengenai kemajuan pesat teknologi baharu.

“Kerjasama itu bermaksud semua perlu merendah diri untuk mengakui bahawa ini adalah teknologi baharu yang mencabar. Kita tidak mempunyai semua jawapan, oleh itu kerjasama mesti bermula de­ngan semua pihak terlibat daripada pemain, syarikat-syarikat besar dan juga negara.

“Sekarang tugasnya bukan untuk muncul dengan jawapan, sebaliknya untuk mendapatkan semua input yang diperlukan mengenai apa yang perlu dilakukan. Sudah pas­tinya ekosistem yang perlu ada termasuk lapangan terbang, pelabuhan, infrastruktur, pusat kecemerlangan, penyelidikan dan kerjasama dengan universiti,” katanya.

Beliau berkata, selain kerjasama dalam kalangan pemimpin ASEAN, penting juga untuk melibatkan sektor swasta kerana teknologi adalah bidang yang memerlukan kerajaan untuk mengakui batasan mereka dan menerima pendekatan kolaboratif jika mereka ingin berjaya.

Anwar yang kini menge­tuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja tiga hari untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan WEF 2025, di Davos, merupakan penyertaan pertamanya dalam WEF sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada 2022.

Bertemakan Collaboration for the Intelligent Age, sidang kemuncak peringkat tinggi yang bermula kelmarin sehingga 24 Januari ini, akan membincangkan pelbagai perkara antaranya berkaitan peranan dan sumbangan teknologi baru muncul serta inovasi terkini dalam menangani isu ekonomi global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya