PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada mereka yang terjejas akibat kebakaran hutan dahsyat yang memusnahkan kawasan California Selatan, Amerika Syarikat.
Menerusi catatan di Facebook semalam, Anwar berkata, kebakaran hutan itu telah meragut banyak nyawa, memusnahkan ribuan bangunan dan menjejaskan ramai keluarga sebagai satu tragedi yang menyentuh hati masyarakat global.
“Malaysia berdiri dalam solidariti bersama-sama rakyat dan kerajaan Amerika Syarikat pada masa yang sukar ini.
“Ingatan dan doa rakyat Malaysia ditujukan kepada komuniti yang terkesan akibat bencana itu serta pasukan perkhidmatan kecemasan yang berani bertungkus lumus melawan kebakaran,” katanya.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan kebakaran hutan besar-besaran itu tercetus akibat angin ribut kencang dan cuaca kering yang menyebabkan ia merebak dengan pantas di kawasan utara dan barat laut Los Angeles pada Rabu.
Tragedi itu telah meragut lima nyawa dan memusnahkan ribuan rumah, perniagaan serta struktur lain.-UTUSAN