PM Singapura diberi sambutan rasmi negara

Perdana Menteri Singapura diberi sambutan rasmi negara

LAWRENCE Wong memeriksa Kawalan Kehormatan Utama ketika lawatan rasmi bersempena Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11 di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong diberi sambutan rasmi negara di Bangunan Perdana Putra, di sini sempena lawatan rasmi dua hari ke negara ini.

Ketibaan Wong disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekitar pukul 9.50 pagi sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Hadir sama kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta anggota Jemaah Menteri dan pengurusan tertinggi kerajaan.

Turut hadir isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan isteri Wong, Loo Tze Lui.

Wong kemudian turut memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat.

Ini adalah lawatan kali kedua Wong ke Malaysia sejak menjawat jawatan itu pada 15 Mei 2024 yang mana lawatan pertamanya pada 11 Jun tahun lalu.

Lawatan rasmi dua hari Wong ke negara ini adalah sempena Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11 (ALR) yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Semasa lawatan tersebut, kedua-dua pihak dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala serta membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta enam Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Surat Niat yang merangkumi pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar dan usaha memerangi jenayah rentas sempadan.

Sebagai negara jiran dan salah satu rakan utama dalam ASEAN, Malaysia dan Singapura menjalin hubungan erat dan meluas dalam pelbagai bidang.

Kedua-dua negara kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain, dengan jumlah dagangan dua hala mencecah AS$78.59 bilion (RM360.12 bilion) dari Januari hingga November
2024, meningkat 6.7 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2023.

Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya