KUALA LUMPUR: Anwar Ibrahim mengingatkan pesawah untuk tidak menganggu lawatan rasmi rasmi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto hari ini.
Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak menghalang pesawah mengadakan pertemuan dan menyerahkan memo kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, namun ia perlu dilakukan pada masa yang sesuai.
“Lawatan rasmi tersebut adalah atas undangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan acara itu merupakan urusan penting yang melibatkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia.
“Jika nak berurusan tetapkan masa yang sesuai kerana saya tidak setuju sama sekali untuk diadakan perhimpunan yang dikhuatiri akan mengganggu perjalanan dan urusan lawatan rasmi negara Presiden Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Syarahan Perdana Professor Diraja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam ini mengulas mengenai lebih 1,000 pesawah dari seluruh negara dilaporkan akan berkumpul di Putrajaya bagi menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob dipetik sebagai berkata, antara perkara yang dibawa kepada perhatian Perdana Menteri berkenaan tuntutan pesawah yang mahukan harga lantai belian padi dinaikkan kepada RM1,800 untuk satu tan metrik.
Kerajaan katanya, perlu mendengar rintihan dihadapi pesawah berhubung penetapan harga belian padi kepada RM1,300 satu tan metrik pada masa kini yang dianggap tidak relevan dengan kos operasi ditanggung pesawah.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan turut menasihatkan agar pesawah yang akan ke Putrajaya esok supaya menukarnya kepada tarikh yang lain berikutan ia seperti yang dirancang mereka itu bertindih dengan lawatan rasmi Prabowo Subianto.
Anwar mengingatkan semua pihak agar menghormati protokol dan majlis negara sahabat, sambil menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia akan membantu mengawal keadaan.
“Sebaiknya saya minta dia (pesawah) elak (waktu berkenaan). (Kalau) kita tidak mahu jumpa nak bantah boleh lah.
“Ini kita kata boleh jumpa. Mahu adakan perhimpunan aman silakan, tapi janganlah ambil kesempatan itu untuk menganggu apa lagi majlis rasmi negara,” ujarnya.-UTUSAN