KOTA KINABALU: Krisis pemilihan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah seakan-akan belum berakhir.
Biarpun Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick yang dipilih sebagai pengerusi baharu meminta diberikan tempoh selama dua tahun untuk menerajui kepimpinan PH Sabah, namun PKR mempunyai pandangan yang berbeza.
Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Sazayle Donol Abdullah berkata, PKR kekal dengan pendirian tidak mahu jawatan Pengerusi PH diberikan kepada UPKO.
“UPKO baru masuk kelmarin (baru sertai PH), macam mana mahu jadi Pengerusi. Kalau dia lama, tidak apa, ini masih baharu. Kalau DAP masih boleh, UPKO ini baharu.
“PKR memang tidak mahu Pengerusi PH diberi kepada UPKO, pasal ia parti kecil,” katanya ketika ditemui selepas perjumpaan bersama Ketua Menteri di kediaman rasminya di Sri Gaya semalam.
Sazayle berkata, isu berkaitan pemilihan Pengerusi PH Sabah ini akan diputuskan oleh Pengerusi PH pusat.
Namun pada asasnya, kata beliau, ia tidak pernah berlaku pemilihan berkaitan jawatan Pengerusi PH Sabah dan ia adalah kuota PKR.
Walaupun Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe menyatakan tidak wujud kuota dalam pemilihan Pengerusi PH, namun, katanya, itu sekadar pandangan peribadi.
Beliau, yang juga Ketua Cabang PKR Kota Marudu berkata, jika perlu undian, setiap parti ada enam orang wakil sahaja dan UPKO hanya ada enam orang.
“Kalau ikutkan ahli parti yang paling ramai di Sabah adalah PKR. Jadi, kalau mahu undi siapa Pengerusi sepatutnya dibuka kepada semua ahli, tidak adil jika dihadkan,” katanya. – UTUSAN