KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memperuntukkan kuota gender dan etnik sebagai antara langkah penambahbaikan dalam pemilihan parti itu.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, inisiatif baharu itu selaras dengan pindaan Perlembagaan parti yang diluluskan dalam Kongres Khas PKR tahun lalu.
Katanya, pindaan tersebut turut menyaksikan peningkatan jumlah perwakilan kepada 30,000 orang.
“Pemilihan kali ini juga akan menggunakan sistem undi elektronik (e-voting) bagi memastikan proses pemilihan lebih cekap dan telus,” katanya pada sidang media Lawatan Sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025, di sini hari ini.
Kongres Khas PKR pada 15 Disember lalu antara lain dilaporkan akan meminda perlembagaan parti yang menyentuh jumlah perwakilan, kuota gender dan etnik.
Fuziah dilaporkan berkata, pindaan itu akan mengikut prinsip keterlibatan dalam demokrasi yang bakal memberikan hak kepada anggota parti untuk mengundi pemimpin pada sesi pemilihan akan datang.
Menurut Fuziah, pemilihan kepimpinan PKR di semua peringkat akan tamat pada 17 Mei 2025, manakala Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pula dijangka berakhir pada September 2025.
Bagaimanapun katanya, kemungkinan kedua-dua perkara itu akan bertembung adalah kecil, namun sekiranya berlaku, keputusan akan dibuat berdasarkan keadaan semasa.
“Langkah-langkah baharu ini menunjukkan komitmen PKR untuk terus memperkukuh keadilan dan keterangkuman dalam struktur organisasi parti,” katanya. – UTUSAN