KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud tidak mengiyakan mahupun menidakkan kemungkinan akan menjadi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah sekiranya pemilihan Datuk Ewon Benedick ditolak Majlis Presiden PH.
Mustapha, yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, persoalan siapa akan dilantik apabila kuota Pengerusi PH itu dikembalikan kepada PKR akan diumumkan kemudian.
“Kita akan bercakap mengenai perkara ini apabila tiba masanya. Cuma apa yang penting kita bincang mengenai perkara dasar dulu…selesaikan perihal dasar dulu,” katanya semasa sidang akhbar di Pejabat MPN PKR Sabah, semalam.
Menurutnya, sebenarnya beliau menerima keputusan pemilihan sedia ada yang memutuskan Ewon sebagai Pengerusi PH namun, disebabkan ada perbalahan pandangan maka, perkara itu dibawa kepada Majlis Presiden untuk diputuskan.
“Kita terima keputusan dari segi teknikal..kita terima cuma ada pandangan-pandangan berbeza yang masuk. Jadi, apabila timbul perbalahan pandangan, ini memerlukan campur tangan Majlis Presiden bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Majlis Presiden ini pun turut dianggotai oleh Ewon Benedick sebagai Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan beliau boleh menyatakan pandangan beliau kepada Majlis Presiden,” katanya.
Mustapha berkata, selama ini Pengerusi PH Sabah adalah daripada PKR dan memang ditetapkan di peringkat nasional setiap negeri parti mana yang akan mengetuai PH, begitu juga di Sabah.
Jadi, dasar itu sepatutnya dikekalkan cuma mungkin ada kesilapan teknikal semasa pemilihan dilakukan.
Mengulas tentang sentimen parti tempatan yang dimainkan oleh Parti Warisan (Warisan), Mustapha berkata, formula terbaik untuk negeri Sabah adalah gabungan parti nasional dan parti tempatan.
Kata beliau, gabungan parti nasional dan tempatan akan menjamin kestabilan dan kejayaan di Sabah. Biarpun PKR adalah parti nasional namun, mereka sudah biasa menjalin kerjasama dengan parti tempatan sejak dari dulu lagi.
Jelasnya, isu yang mengapi-apikan parti tempatan itu sekadar pandangan peribadi, PKR malas campur dengan naratif yang dibawa oleh Warisan itu. – UTUSAN