KUALA TERENGGANU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) disaran membuat pindaan terhadap video promosi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) kerana dilihat tidak memberi gambaran sebenar kemajmukan agama dan kaum di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, video tersebut tidak menggambarkan identiti majoriti sebenar kaum di Malaysia dan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Walau bagaimanapun, katanya, usaha MOTAC dalam menghasilkan video promosi itu yang kreatif dan bertaraf antarabangsa itu sangat dihargai, namun pihak kementerian seharusnya lebih sensitif dalam memberikan gambaran kemajmukan agama dan negara di Malaysia.
“Justeru, saya berharap agar MOTAC dapat mempertimbangkan pindaan pada video tersebut dengan menampilkan latar belakang masjid serta elemen budaya Melayu,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan Kempen TMM 2026 di Sepang, Selangor dan memperkenalkan logo, maskot, lagu tema dan reka bentuk pesawat khas.
Bagaimanapun, video promosi TMM 2026 yang berdurasi 41 saat itu mendapat kritikan ramai kerana tidak memaparkan gambar masjid sebagai rumah ibadah agama rasmi Persekutuan, sebaliknya hanya memaparkan gambar kuil, tokong dan gereja.
Razali berkata, identiti di Malaysia terasnya adalah kebudayaan Melayu dan agama Islam yang menjadi akar kepada keunikan serta keharmonian masyarakatnya.
“Seni bina masjid sebagai simbol keindahan Islam, bukan sahaja menjadi tarikan pelancong tetapi melambangkan semangat perpaduan rakyat Malaysia.
“Langkah ini penting untuk memastikan promosi ini tidak hanya meraikan kepelbagaian, tetapi turut memaparkan identiti asal yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN