TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 3,800 pelbagai jenis anak pokok orkid dan pancang buluh selepas menahan dua lelaki berdekatan sebuah sekolah menengah, di sini semalam.
Lelaki berusia 34 tahun dan 37 tahun itu ditahan pada pukul 12.15 pagi semasa memandu sebuah lori dalam keadaan mencurigakan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut menemukan 3,800 pelbagai jenis anak pokok Orkid dan dua kotak pancang buluh yang dipercayai diseludup dari Thailand.
Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup tumbuhan tersebut ke pasaran tempatan.
“Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM720,300 termasuk nilai kenderaan dan kes disiasat dibawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5,” katanya hari ini. – UTUSAN