Pesta Pulau Pinang 2025 edisi terakhir di Sungai Nibong

Pesta Pulau Pinang 2025 edisi terakhir di Sungai Nibong

CHOW Kon Yeow ketika berucap pada majlis Majlis Perasmian Pesta Pulau Pinang 2024/2025 di Tapak Ekspo Sungai Nibong, Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pesta Pulau Pinang 2025 dijangka menjadi edisi terakhir yang dianjurkan di Sungai Nibong di sini memandangkan tapak ekspo di situ dijangka terlibat dalam projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang Laluan Mutiara selepas ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek rel awam moden tersebut adalah langkah penting ke arah memajukan Pulau Pinang, sekali gus memastikan negeri ini terus menjadi destinasi yang efisien dan progresif.

Menurut beliau, meskipun lokasi penganjuran pesta berubah pada masa depan namun semangat dan matlamat utama acara tahunan itu tetap utuh.

“Semangat dan tujuan penganjuran Pesta Pulau Pinang tidak pernah pudar walaupun lokasi penganjuran tidak lagi sama (pada masa hadapan).

“Pesta Pulau Pinang bukan sekadar lokasi. Ia mencerminkan semangat keterbukaan masyarakat kita yang meraikan kekeluargaan, perpaduan, budaya, dan inovasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Pulau Pinang 2024/2025, semalam.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, yang hadir bersama isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM4.5 juta bagi pelaksanaan pesta berkenaan tahun ini, merangkumi kos operasi, penyelenggaraan, pembaikan infrastruktur, serta penambahbaikan berkaitan.

Selain itu, katanya, edisi ke-58 pesta itu yang berlangsung dari 21 Disember 2024 hingga 2 Februari 2025 juga telah menerima sambutan menggalakkan setakat ini.

“Setakat 4 Januari sahaja, dianggarkan seramai 150,000 pengunjung telah hadir dengan kutipan tiket mencecah RM745,840. Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran sehingga 500,000 pengunjung menjelang penutup pesta ini iaitu pada 2 Februari depan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya