ALOR SETAR: Pelbagai masalah yang menekan pesawah ketika ini termasuk harga belian padi yang rendah dan kos penanaman tinggi menyebabkan semakin ramai anak muda mahu meninggalkan bidang itu.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, perkara itu dikhuatiri mengancam sektor pertanian negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Motivasi petani muda semakin menurun kalau kita tengok daripada statistik bilangan pesawah yang menguruskan sawah sekitar 80-an adalah 300,000 orang. Sekarang dengan perangkaan baharu petani yang usahakan sawah tidak sampai 200,000 orang.
“Kita tengok yang usahakan sawah pada usia 50 tahun ke atas adalah paling banyak, 50 tahun ke bawah hanya 10 hingga 20 peratus sahaja. Jadi, kita nampak anak muda tidak lagi berminat kerana takut menanggung kerugian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada himpunan lebih 50 pesawah yang menuntut kenaikan harga lantai belian padi RM1,300 kepada RM1,800 per tan metrik di Kampung Benua, Simpang Empat di sini hari ini.
Abdul Rashid berkata, terdapat petani muda yang mula merancang untuk makan gaji berbanding mengusahakan tanaman padi yang mengakibatkan mereka terpaksa menanggung hutang.
“Ini yang kita takut kerana petani muda ini adalah legasi tanaman padi. Tetapi masalah belian padi yang rendah RM1,300 ini akan terus menghimpit mereka. Kita berharap agar kerajaan mengembalikan RM1,800 supaya petani kita terus menanam padi,” katanya.
Sementara itu menurut Ketua Peladang Muda PPK Bukit Besar, Aswadil Khairi Che Omar, 41, berdasarkan pemerhatian pihaknya sebanyak 20 hingga 30 peratus petani muda mengundur diri sejak beberapa musim terbaharu ini kerana tidak mampu memperoleh keuntungan.
“Kos yang petani hadapi sekarang ini bukan main-main, memang membebankan buat pesawah muda. Mereka dari usia 25 hingga 40 tahun ini tidak boleh jana pendapatan tetapi tanggung hutang.
“Mereka rasa lebih baik makan gaji daripada tanggung hutang kerana nak sara keluarga. Ada anak muda sekarang terpaksa jual peralatan mereka seperti dron kerana tidak mampu bayar hutang. Dua musim sekarang ini masing-masing semakin kecewa dengan harga belian,” ujarnya.
Seorang petani muda, Wan Selamat Wan Mohd Nor, 38, berkata, mereka berharap kerajaan memandang serius masalah yang harus ditanggung oleh golongan pesawah sekiranya harga belian masih pada RM1,300.
“Ada kawan saya yang sudah lompat ke tempat lain kerana rugi tanam padi. Kos tanam padi tidak berbaloi dengan hasilnya macam mana nak teruskan,” katanya. – UTUSAN