PUTRAJAYA: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) mengemukakan dua tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri melibatkan isu harga lantai padi dan Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman.
Pengerusinya, Abdul Rashid Yob berkata, pihaknya bersama 10 orang wakil badan tersebut menyerahkan memorandum itu kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Chan Ming Kai sekali gus memberi jaminan akan ada sesi perbincangan khas dengan pihak berkaitan dalam masa yang terdekat.
Menurut beliau, tuntutan bagi kenaikan harga lantai padi yang pada ketika ini hanya RM1,300 per tan dianggap amat rendah tanpa mencerminkan realiti kos semasa dan berharap kerajaan dapat melakukan intervensi untuk meningkatkan segera kadarnya kepada RM1,800 per tan.
“Ini penting demi kelangsungan hidup pesawah yang miskin dan juga menjamin bekalan makanan ruji negara kerana selama ini terpaksa menanggung banyak kos,” katanya pada sidang akhbar selepas menyertai kira-kira 500 pesawah berhimpun secara aman di lobi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di sini semalam.
Abdul Rashid berkata, pegawai Pejabat Perdana Menteri tersebut bersetuju antara tuntutan mereka mengenai isu bantahan ke atas Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman.
Katanya, RUU itu dibimbangi dalam jangka panjang berlaku monopoli korporat dan mahu ada sesi konsultasi telus semua pihak.
Beliau memberikan contoh lonjakan kos benih padi selain membajak dan menuai ekoran penyasaran subsidi diesel serta sewa tanah, racun kimia dan upah penyelenggaraan.
Ditanya apakah kesemua negeri terkesan dengan isu sama, beliau mengakui masalah tersebut berlaku di semua kawasan jelapang padi di Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan untuk ‘turun padang’ bagi menilai sendiri isu padi.
Dalam satu jawapan ringkas kepada media, beliau akan mengambil tanggungjawab untuk mengadakan libat urus dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu di Kelantan (KADA) bagi menyelesaikan permasalahan berkaitan.
“Saya akan ambil tanggungjawab ‘turun’ ke MADA dan KADA serta tempat-tempat lain yang berkaitan untuk libat urus secara berterusan dengan para penanam padi,” katanya di sini semalam.-UTUSAN.